Harga Bitcoin berjaya mencecah paras $82,000 selepas Jawatankuasa Perbankan Senat AS meluluskan kemajuan awal rang undang-undang struktur pasaran aset digital yang dikenali sebagai ‘Clarity Act’.
Ketika artikel ini ditulis, harga Bitcoin berada di paras $81,351 iaitu positif 0.34%sejak ia dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.
Pasaran kripto melonjak pada Khamis apabila perkembangan positif berkaitan rang undang-undang kripto di Amerika Syarikat memberi keyakinan baharu kepada pelabur.
Rang undang-undang ini dianggap penting kerana ia boleh mewujudkan rangka kerja peraturan yang lebih jelas untuk industri kripto di Amerika Syarikat.
Undian tersebut diluluskan dengan keputusan 15-9, termasuk sokongan daripada dua senator Demokrat, sekali gus membolehkan rang undang-undang itu dibawa ke peringkat Senat penuh untuk pertimbangan lanjut.
Pelabur melihat perkembangan ini sebagai petanda bahawa kerajaan AS semakin terbuka terhadap industri kripto.
Disebabkan itu, Bitcoin melonjak sehingga $82,000 sebelum susut sedikit ke sekitar $81,500, namun masih mencatat kenaikan sekitar 2.5% dalam tempoh 24 jam.
Saham syarikat berkaitan kripto turut menerima tempias positif. Saham Coinbase meningkat 8% kerana pelabur percaya peraturan yang lebih jelas boleh menarik lebih banyak institusi besar memasuki pasaran aset digital.
Selain itu, syarikat pegangan Bitcoin seperti Strategy naik 7%, manakala syarikat yang memberi fokus kepada Ethereum, Bitmine pula meningkat 5.6%.
Dalam masa sama, sentimen positif turut merebak ke pasaran saham AS secara keseluruhan apabila indeks Nasdaq 100 dan S&P 500 mencatat paras tertinggi baharu.
Salah satu faktor tambahan yang membantu sentimen pasaran ialah penampilan sulung syarikat cip AI Cerebras di pasaran saham. Saham syarikat itu melonjak sehingga 100% daripada harga IPO, menunjukkan minat pelabur terhadap sektor kecerdasan buatan (AI) masih sangat kuat.
Syarikat pusat data yang sebelum ini terlibat dalam perlombongan Bitcoin tetapi kini beralih kepada infrastruktur AI turut mencatat kenaikan. Antaranya Keel Infrastructure naik 9%, manakala IREN serta Hive Digital masing-masing meningkat 5% dan 8%.
























































