Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Dalam kekecohan dokumen Jeffrey Epstein yang semakin menimbulkan tanda tanya, Elon Musk hari ini mengulas mengenai isu besar berkenaan.
Jutawan Tesla itu mendakwa ramai mangsa kanak-kanak Epstein sebenarnya telah dipaksa menjadi penyeludup manusia sebaik mereka mencapai usia dewasa.
Musk membuat kenyataan ini sambil menyarankan agar pengampunan diberikan kepada mereka yang terlibat supaya berani tampil memberikan keterangan.
Beliau turut menyatakan bahawa Epstein didakwa mengeksploitasi mangsa yang telah mencapai usia dewasa dengan memaksa mereka terlibat dalam aktiviti penyeludupan.
Kaedah ini merupakan strategi untuk mendiamkan mereka dengan lebih berkesan berbanding perjanjian kerahsiaan.
Justeru, pemberian pengampunan dicadangkan bagi menggalakkan mereka tampil memberikan keterangan bagi melumpuhkan rangkaian tersebut.
Pendedahan jutaan dokumen dalaman yang kini tular mendedahkan jaringan Epstein yang merangkumi tokoh-tokoh berpengaruh daripada pelbagai sektor seperti perniagaan, akademik sehinggalah kerabat diraja.
Walaupun pernah dihukum pada tahun 2008 atas tuduhan pelacuran bawah umur, hubungan Epstein dengan golongan elit ini terus berlanjutan.
Kini, penggubal undang-undang Amerika semakin serius meneliti fail-fail Epstein yang tidak disunting.
Mereka bimbang nama-nama penting sengaja disembunyikan daripada rekod awam, walhal Akta Ketelusan Fail Epstein (EFTA) sudah mewajibkan Jabatan Kehakiman mendedahkan semua dokumen berkaitan.
Mangsa-mangsa Epstein pula terus menunjuk keadilan. Sejak siasatan bermula pada 2005, puluhan gadis tampil mengaku menjadi mangsa penderaan seksual dan penganiayaan. FBI mengesahkan lebih 1,000 mangsa telah dikenal pasti.
Namun, meskipun memiliki bukti kukuh, Epstein hanya dikenakan hukuman ringan selepas perjanjian pelik yang dibuat oleh Peguam Negara pada masa itu, Alexander Acosta.
Kepelbagaian fakta dan pertindihan maklumat ini menimbulkan paradoks besar. Bagaimana seorang pesalah dengan bukti yang banyak boleh mendapat layanan istimewa?
Mengapa mangsa yang jelas trauma terpaksa menutup mulut susulan ancaman jenayah? Dan yang paling penting, siapa sebenarnya yang masih terlindung di sebalik tabir ini?
Musk, dalam nada yang serius telah membangkitkan isu pengampunan sebagai kunci untuk merungkai membuka rahsia Epstein.
Ini bukan soal simpati, tetapi strategi untuk melumpuhkan rangkaian gelap yang selama ini beroperasi secara sulit. Jika mangsa terus dipaksa berdiam diri, rangkaian itu akan terus berkuasa.
Kebenaran tidak akan muncul dengan sendirinya. Ia perlu dizahirkan walaupun melalui jalan yang sukar.


























































