Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
XAU/USD didagangkan dalam rentak positif sejak Selasa melepasi paras $5,000 melantun daripada kejatuhan dahsyat sejak minggu lepas, namun pasaran melihat permintaan belian kekal kukuh buat aset selamat.
Pada jam 9 pagi, harga emas berada pada paras $5,005 iaitu naik 1.16% sejak ia dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Ketegangan geopolitik di Timur Tengah kembali meningkat selepas tentera Amerika Syarikat (AS) menembak jatuh sebuah dron Iran yang dilaporkan bertindak agresif ketika menghampiri kapal induk pesawat USS Abraham Lincoln di Laut Arab, menurut laporan CNBC pada Selasa.
Insiden itu berlaku ketika Presiden AS, Donald Trump sedang mempertimbangkan kemungkinan tindakan ketenteraan terhadap Iran, sekali gus menambah tekanan ke atas landskap geopolitik global.
Dalam perkembangan berkaitan, Iran menuntut supaya rundingan dengan AS minggu ini diadakan di Oman dan bukannya di Turki, selain mengehadkan skop perbincangan kepada isu nuklear secara dua hala. Keadaan ini dilihat merumitkan lagi usaha diplomatik yang sedia mencabar.
Pasaran kini memantau rapat perkembangan rundingan AS-Iran. Sebarang peningkatan ketegangan berpotensi mendorong aliran masuk ke aset selamat tradisional, khususnya emas, dalam jangka masa terdekat.
Namun, potensi kenaikan harga emas dijangka terbatas susulan pencalonan Kevin Warsh sebagai Pengerusi Federal Reserve (Fed).
Warsh dilihat sebagai calon yang bersifat ‘hawkish’ dan berkemungkinan mengekalkan dasar kadar faedah tinggi, sekali gus memberi tekanan ke atas harga logam kuning itu.
Peniaga turut mengurangkan jangkaan terhadap penurunan kadar faedah Fed selepas keputusan jeda pada Januari dan perkembangan pencalonan tersebut. Berdasarkan alat CME FedWatch, pasaran kini meletakkan kebarangkalian hampir 66% bagi pengurangan kadar faedah pada mesyuarat dasar Jun.
























































