Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga emas dilihat mengekalkan momentum menghampiri $5,200 apabila ketidakpastian tarif AS mendorong permintaan tempat selamat. Pedagang menunggu pengumuman laporan Indeks Harga Pengeluar (PPI) Januari AS yang akan diterbitkan pada lewat Jumaat.
Pada jam 8.50 pagi, harga emas berada pada paras $5,173 iaitu susut 0.22% sejak ia dibuka pada awal dagangan Jumaat di sesi Asia.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memaklumkan bahawa pentadbirannya akan mengenakan tarif menyeluruh sebanyak 15% ke atas import selepas keputusan Mahkamah Agung membatalkan rejim tarif timbal balik sebelum ini.
Langkah tersebut menandakan perubahan besar dalam hala tuju dasar perdagangan AS.
Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer, turut menyatakan bahawa kadar levi itu berpotensi dinaikkan kepada 15% atau lebih tinggi terhadap banyak negara dalam masa beberapa hari akan datang.
Ketidaktentuan berhubung pelaksanaan dan skop sebenar tarif ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur global.
Ketidakjelasan dasar perdagangan AS itu secara tidak langsung menyokong harga emas dalam sesi terdahulu. Logam kuning dilihat sebagai aset selamat ketika pasaran berdepan risiko dan ketidaktentuan dasar.
Dalam perkembangan berasingan, ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran dilihat semakin reda. Menteri Luar Oman, Badr Albusaidi, memaklumkan bahawa AS dan Iran akan meneruskan rundingan nuklear minggu depan selepas mencapai kemajuan ketara dalam perbincangan di Switzerland.
Rundingan tersebut dijadualkan disambung semula di Vienna pada peringkat teknikal selepas siri perbincangan awal.
Pasaran kini memantau rapat perkembangan rundingan ini kerana sebarang kemajuan lanjut berpotensi mengurangkan risiko geopolitik global, sekali gus mempengaruhi pergerakan emas.
Fokus utama pasaran seterusnya tertumpu kepada laporan Indeks Harga Perbelanjaan Peribadi (PPI) AS yang akan diterbitkan pada hari Jumaat. Data ini penting sebagai petunjuk utama hala tuju kadar faedah Fed.
Ahli ekonomi menjangkakan PPI meningkat sederhana sebanyak 0.3% bulan ke bulan pada Januari, berbanding 0.5% pada Disember. Secara tahunan, bacaan diunjurkan susut kepada 2.6% daripada 3.0% sebelumnya.
Sekiranya data inflasi menunjukkan bacaan lebih tinggi daripada jangkaan, ia boleh mengukuhkan jangkaan bahawa kadar faedah AS akan kekal tinggi untuk tempoh lebih lama. Keadaan ini lazimnya memberi tekanan kepada emas kerana logam berharga itu tidak menawarkan pulangan faedah.
























































