Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Harga emas meneruskan rentak kejatuhannya selepas hampir mencapai $4,800 selepas perjanjian antara AS dan Iran dilihat tidak membuahkan hasil, kedua-dua pihak berikrar akan menghantar serangan dan ketenteraan dalam masa terdekat.
Pada jam 9.15 pagi, harga emas berada pada paras $4,648 iaitu turun 0.04% sejak ia dibuka pada awal dagangan Selasa di sesi Asia.
Laporan oleh Wall Street Journal mendedahkan bahawa tentera Amerika Syarikat sedang membuat persediaan bagi kemungkinan serangan ke atas sasaran tenaga di Iran.
Perkembangan ini hadir ketika Donald Trump meningkatkan tekanan dengan kenyataan bahawa Iran boleh ditewaskan dalam masa singkat, sekali gus mencerminkan tahap ketegangan geopolitik yang semakin memuncak.
Tarikh akhir yang ditetapkan sebelum ini pada 6 April telah ditangguhkan kepada 7 April jam 8:00 malam waktu Timur. Penangguhan ini bergantung kepada sama ada Iran memenuhi tuntutan utama AS, termasuk pembukaan semula laluan strategik Selat Hormuz yang menjadi nadi perdagangan minyak global.
Dalam masa sama, Iran menolak cadangan gencatan senjata yang diusahakan oleh beberapa negara termasuk Pakistan, Mesir dan Turki.
Cadangan tersebut bertujuan mewujudkan tempoh bertenang selama 45 hari sebagai langkah awal ke arah penyelesaian konflik, namun kegagalan mencapai persetujuan meningkatkan lagi risiko ketidaktentuan pasaran tenaga global.
Di sudut ekonomi, aktiviti sektor perkhidmatan AS menunjukkan tanda perlahan. Data daripada Institute for Supply Management menunjukkan PMI Perkhidmatan menurun kepada 54 pada bulan Mac daripada 56.1 sebelumnya, walaupun masih melepasi jangkaan pasaran.
Pada masa sama, komponen harga yang dibayar melonjak ke paras tertinggi sejak Oktober 2022, didorong oleh peningkatan kos tenaga.
Pasaran buruh pula memberikan kejutan positif apabila data Nonfarm Payrolls (NFP) mencatatkan pertambahan 178 ribu pekerjaan baharu, jauh melebihi jangkaan.
Walau bagaimanapun, semakan ke bawah bagi bulan Februari sebanyak -133 ribu menjadikan purata pertumbuhan pekerjaan bagi tiga bulan pertama lebih sederhana, sekitar 68 ribu.
Kadar pengangguran turut menurun kepada 4.3%, lebih rendah daripada sasaran Federal Reserve sebanyak 4.5% untuk 2026. Perkembangan ini mengurangkan jangkaan pelonggaran dasar monetari dalam masa terdekat, dengan pasaran kini melihat kadar faedah berkemungkinan kekal stabil sepanjang tahun.
Fokus pasaran seterusnya tertumpu kepada beberapa data penting termasuk Pesanan Barangan Tahan Lama, minit mesyuarat Federal Open Market Committee (FOMC), data pertumbuhan ekonomi, Tuntutan Pengangguran Awal serta angka inflasi yang akan menjadi petunjuk hala tuju dasar monetari AS.

























































