Isyarat kenaikan kadar faedah oleh Bank Pusat Eropah gagal menyekat kemaraan mata wang Britain yang disokong oleh sentimen pasaran semasa.
Pasaran kini sedang menghadam kemungkinan besar bahawa Bank Pusat Eropah atau ECB akan menaikkan kadar faedah tidak lama lagi. Konflik berterusan di Iran telah menjadi dalang utama lonjakan harga tenaga global sekali gus memaksa unjuran inflasi zon Euro melonjak naik.
Walaupun pasaran melihat keputusan menaikkan kadar faedah pada bulan Jun ini hampir pasti, barisan pemimpin ECB dijangka mengambil langkah tidak terburu-buru. Pelabur kini menanti ucapan Presiden Christine Lagarde untuk mengintai petunjuk sama ada mereka akan terus agresif pada bulan Julai nanti.
Isyarat ‘Cool Down’ Dari Sektor Buruh Britain
Mata wang Sterling pula tetap bertahan walaupun berhadapan dengan data jualan runcit Britain yang agak suram. Ditambah pula dengan kadar pengangguran UK yang meningkat secara mengejut kepada lima peratus, situasi ini membuatkan pelabur menilai semula langkah seterusnya.
Pandangan Ahli Jawatankuasa BoE
Ahli jawatankuasa Bank of England Alan Taylor menyatakan bahawa mengekalkan kadar faedah sedia ada untuk tempoh lebih lama adalah mencukupi. Menurut beliau, kesan inflasi pusingan kedua kali ini tidak seganas situasi konflik Rusia – Ukraina pada tahun 2022 dahulu kerana pasaran kerja domestik semakin mereda.
Namun begitu kami menjangkakan bahawa bank pusat Britain masih akan menaikkan kadar faedah sebanyak dua kali menjelang akhir tahun. Sentimen yang bercampur-campur ini memberikan kelebihan unik buat Pound Sterling untuk mengekang penguasaan Euro.
























































