Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Gangguan aliran minyak di Selat Hormuz semakin menekan bekalan global, sekali gus menyebabkan Goldman Sachs menaikkan ramalan harga minyak Brent bagi suku kedua sebanyak $10 kepada $76 setong.
Bank pelaburan AS itu turut menaikkan unjuran harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) kepada purata $71 setong iaitu peningkatan sebanyak $9 berbanding ramalan sebelumnya.
Apa yang menarik, harga minyak dalam dagangan Asia semalam telah melangkaui unjuran Goldman dengan Brent melebihi $83 setong dan WTI lebih $76 setong.
Situasi ini menunjukkan pasaran sedang menghadapi ketidaktentuan bekalan yang nyata, bukan sekadar spekulasi.
Goldman Sachs memberi amaran sekiranya gangguan di Selat Hormuz berterusan selama lima minggu, harga minyak Brent berpotensi menembusi paras $100 setong.
Paras ini kebiasaanya dikaitkan dengan kejatuhan permintaan yang tajam kerana pengguna cuba mengelak daripada kehabisan stok minyak.
Dalam laporan terperinci, Ketua Penyelidikan Komoditi Goldman, Daan Struyven menyatakan bahawa kenaikan harga boleh meningkat antara $1 hingga $15 setong bergantung kepada tempoh dan tahap sekatan aliran minyak.
Penutupan penuh selama sebulan tanpa sebarang pampasan daripada saluran paip tambahan atau pelepasan rizab strategik akan melonjakkan harga minyak ke paras tertinggi dalam tempoh beberapa tahun.
Walaupun pengeluar di Timur Tengah mempunyai kapasiti paip tambahan kira-kira 4 juta tong sehari untuk mengalihkan aliran minyak, ia hanya mampu menampung sebahagian daripada risiko tersebut.
Agensi Tenaga Antarabangsa menganggarkan sehingga 16 juta tong sehari aliran minyak melalui Selat Hormuz berisiko terjejas jika berlaku penutupan sepenuhnya.
Situasi ini memaparkan paradoks pasaran minyak hari ini, harga telah melonjak melebihi ramalan rasmi, namun gangguan sebenar masih belum reda.
Ia menandakan tekanan bekalan semakin kritikal dan risiko kenaikan harga adalah lebih tinggi daripada jangkaan ramai.
Pasaran perlu bersiap sedia untuk tempoh ketidakstabilan harga yang lebih panjang dan volatil.



























































