Biro Statistik Buruh A.S. melaporkan penurunan mengejut sebanyak 0.3% bagi Indeks Harga Pengeluar (PPI) pada bulan Jun. Data ini ternyata lebih baik daripada ramalan awal penganalisis Wall Street yang menjangkakan kos barangan di peringkat kilang tidak berubah. Pendorong utama kepada kejatuhan harga borong ini adalah penyusutan ketara kos tenaga, terutamanya harga minyak mentah yang reda ekoran tanda-tanda de-eskalasi konflik ketenteraan antara AS dan Iran.
Data inflasi teras, yang mengetepikan komponen tidak menentu seperti makanan dan tenaga, turut mencatatkan bacaan yang lebih perlahan dengan kenaikan hanya 0.2%. Secara tahunan, kadar inflasi pengeluar A.S. kini berada pada paras 5.5%. Penurunan ini seiring dengan data Indeks Harga Pengguna (CPI) hari sebelumnya yang mencatatkan kejatuhan bulanan paling tajam sebanyak 0.4%, sekali gus membawa inflasi runcit turun ke paras 3.5%.
Laporan ini memberi sokongan kuat kepada kenyataan Presiden Persekutuan New York, John Williams, yang menegaskan bahawa rantaian inflasi melampau di A.S. kini telah rasmi mencapai kemuncaknya. Williams menyenaraikan lima faktor utama mengapa lonjakan harga akibat perang Timur Tengah, isu tarif import, dan perbelanjaan agresif dalam sektor kecerdasan buatan (AI) kini mula kehilangan momentum dan dijangka terus merosot dalam beberapa suku akan datang.
Walaupun unjuran Williams memberi ruang bernafas kepada Rizab Persekutuan untuk mengekalkan kadar faedah sedia ada, sentimen pasaran kewangan masih kekal skeptikal. Data pasaran hadapan menunjukkan para pelabur menjangkaka bahawa Fed tetap akan menaikkan kadar faedah pada mesyuarat bulan September hadapan. Malah, sebahagian besar ahli jawatankuasa FOMC sendiri sebelum ini telah membayangkan sekurang-kurangnya satu lagi kenaikan kadar suku mata peratusan menjelang akhir tahun 2026.
Pendirian pasaran yang berhati-hati ini disokong oleh kenyataan tegas Pengerusi Fed yang baharu, Kevin Warsh, semasa memberi keterangan di hadapan Kongres. Warsh menegaskan bahawa kejatuhan harga bulan Jun bukanlah petanda “misi telah berjaya” untuk bank pusat. Memandangkan inflasi tahunan sebanyak 3.5% masih jauh daripada sasaran jangka panjang Fed iaitu 2%, pasaran menjangkakan retorik pengetatan monetari akan terus dipertahankan demi memastikan kestabilan harga yang mampan.

























































