Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pasaran minyak kini bersiap sedia menantikan sebarang kejutan selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada hujung minggu lalu.
Kebimbangan utama kini tertumpu pada kemungkinan Selat Hormuz yang merupakan laluan penting minyak dunia terganggu atau ditutup sepenuhnya.
Penganalisis menjangkakan harga minyak akan melonjak apabila dagangan bermula di New York, namun persoalan sebenar adalah sama ada ketegangan ini akan berlarutan dan menyebabkan gangguan eksport minyak dari Teluk Persia.
Vandana Hari, CEO Vanda Insights menegaskan bahawa konflik berskala penuh antara AS dan Iran kini sedang berlangsung dan sukar dijangka hala tuju seterusnya.
Jika Iran dan sekutu mereka bertindak balas, gangguan besar terhadap aliran minyak Timur Tengah mungkin berlaku.
Melainkan AS berjaya mengawal situasi dengan pantas dan memastikan kapal tangki masih boleh melalui Selat Hormuz seperti biasa.
Selat Hormuz yang terletak antara Oman dan Iran adalah kunci utama transit minyak global. Sekitar 13 juta tong minyak setiap hari melalui saluran ini, mewakili hampir satu pertiga daripada semua minyak yang dihantar ke laut.
Ia menghubungkan negara pengeluar utama seperti Arab Saudi, Iran, Iraq dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke pasaran dunia.
Menurut laporan Reuters, Pengawal Revolusi Iran dilaporkan memberi amaran kepada kapal komersial bahawa laluan itu dilarang untuk dilalui.
Namun, Tehran masih belum mengesahkan secara rasmi mengenai arahan penutupan Selat Hormuz. Ancaman Iran untuk menutup laluan ini bukanlah perkara baru kerana ia sering digunakan sebagai tekanan balas terhadap serangan ke atas negara mereka.
Bagaimanapun, Presiden Rapidan Energy Group, Bob McNally menegaskan perkembangan ini adalah serius bagi pasaran minyak dan gas kerana ketergantungan dunia kepada aliran melalui Hormuz.
Faktor penentu kepada kesan sebenar ialah berapa lama dan sejauh mana gangguan itu berlaku.
Sekiranya Selat Hormuz benar-benar ditutup, impaknya terhadap pasaran minyak berisiko menjadi lebih buruk daripada embargo minyak Arab dan revolusi Iran pada 1970-an.
Harga minyak berpotensi melonjak ke paras tiga digit, manakala harga gas asli cecah rekod tertinggi tahun lalu.
Minyak Brent kini sekitar $72.48 setong, meningkat hampir 19% tahun ini, manakala minyak mentah AS WTI pula pada $62.02, meningkat 16%.
Presiden Lipow Oil Associates, Andy Lipow menilai risiko gangguan bekalan minyak di rantau ini meningkat dengan ketara selepas serangan tersebut.
Senario terburuknya ialah serangan ke atas infrastruktur minyak Arab Saudi diikuti dengan penutupan penuh Selat Hormuz.
Kebarangkalian itu dianggarkan sekitar 33% kerana Iran mungkin berasa terdesak dan bertindak drastik. Jika Selat Hormuz ditutup lama, dunia bakal menyaksikan kegawatan tenaga yang menggoncang ekonomi global.
Pasaran telah mula mengira kos risiko yang jauh lebih tinggi daripada yang dijangkakan sebelum ini.



























































