Iran meneruskan usaha diplomatik berhubung masa depan Selat Hormuz apabila mengadakan perbincangan dengan Arab Saudi dan Oman bagi membincangkan perkembangan keselamatan serta kestabilan di rantau itu.
Menteri Luar Iran, Seyyed Abbas Araqchi, mengadakan panggilan telefon berasingan dengan rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Faisal bin Farhan, dan Oman, Badr Al-Busaidi.
Perbincangan itu memberi tumpuan kepada kerjasama serantau serta usaha diplomatik untuk mengurangkan ketegangan dan memastikan keselamatan laluan perdagangan di Selat Hormuz.
Perkembangan ini berlaku selepas konflik antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran reda buat sementara waktu. Sentimen pasaran turut bertambah baik apabila harga minyak menurun dan pasaran saham mengukuh susulan harapan terhadap kemungkinan perjanjian damai.
Bagaimanapun, ketegangan di Asia Barat masih berterusan. Arab Saudi memaklumkan berjaya memintas beberapa dron yang menyasarkan kemudahan minyak negara itu, manakala Houthi di Yemen mendakwa bertanggungjawab menyerang kemudahan tenaga Arab Saudi.
Jordan turut mengesahkan sebuah dron berjaya ditembak jatuh di ruang udaranya.
Dalam masa sama, Presiden AS Donald Trump menyifatkan hubungan dengan Iran menunjukkan perkembangan positif, namun Tehran menegaskan tiada rundingan langsung sedang berlangsung dan sebarang komunikasi hanya dibuat melalui pihak perantara.
Trump turut memberi amaran bahawa AS bersedia menyambung semula serangan sekiranya rundingan gagal mencapai kemajuan.






















































