Ketegangan di Timur Tengah kembali memuncak apabila Iran dilaporkan melancarkan beberapa peluru berpandu balistik ke arah tentera Amerika Syarikat (AS) yang berpangkalan di rantau itu.
Menurut Pemerintah Pusat AS (CENTCOM), semua peluru berpandu berjaya dipintas dan tiada kerosakan dilaporkan.
Laporan media antarabangsa menyatakan serangan itu dipercayai menyasarkan pangkalan tentera AS di Jordan. Sebagai tindak balas, pasukan AS bersama Arab Saudi melancarkan serangan ke atas beberapa lokasi logistik dan simpanan senjata militan di timur Iraq selepas lebih 30 serangan dron dikaitkan dengan kumpulan yang disokong Iran dalam tempoh tiga hari.
Arab Saudi menegaskan operasi ketenteraan itu dijalankan secara bersama dengan CENTCOM dan bukan bertujuan meningkatkan konflik. Bagaimanapun, Riyadh memberi amaran akan bertindak balas terhadap sebarang ancaman selepas beberapa dron dilaporkan cuba menyasarkan kemudahan petroleum negara itu.
Dalam perkembangan lain, Pusat Operasi Perdagangan Maritim United Kingdom (UKMTO) melaporkan satu insiden mencurigakan di Laut Merah apabila sebuah kapal tangki mendengar beberapa letupan ketika melalui kawasan selatan laluan tersebut.
Insiden itu berlaku berhampiran Selat Bab el-Mandeb, laluan strategik bagi perdagangan minyak global.
Perkembangan terbaharu ini meningkatkan kebimbangan terhadap bekalan minyak dunia selepas harga minyak kembali melonjak. Sebarang gangguan di Selat Hormuz atau Selat Bab el-Mandeb berpotensi menjejaskan rantaian bekalan tenaga global dan terus memberi tekanan kepada pasaran kewangan.






















































