Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pengerusi Federal Reserve, Jerome Powell, memberi amaran jelas tentang kesihatan fiskal Amerika Syarikat. Walaupun beban hutang negara AS yang mencecah RM167 trilion (USD 39 trilion) tidak langsung meruntuhkan sistem kewangan negara, arah tuju hutang tersebut jauh dari terkawal dan memerlukan tindakan segera daripada pembuat dasar.
Powell menegaskan bahawa jumlah hutang AS masih boleh dikawal, tetapi trajektori kenaikan hutang itu tidak mampan. “Jika kita tidak bertindak dengan segera, kesudahannya pasti tidak akan baik,” katanya ketika berucap di hadapan pelajar ekonomi Harvard.
Beliau membezakan antara jumlah hutang yang sudah ada dengan kadar pertumbuhan hutang yang semakin cepat berbanding ekonomi negara. Hutang kerajaan persekutuan bertambah lebih pantas daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menjadikan nisbah hutang kepada KDNK terus meningkat. Menurutnya, ini adalah definisi sebenar ketidakmampanan fiskal.
Bayaran faedah hutang negara dijangka melebihi RM4.3 trilion (USD 1 trilion) menjelang tahun kewangan 2026, hampir tiga kali ganda berbanding RM1.5 trilion (USD 345 bilion) yang dibayar pada 2020. Dalam tiga bulan pertama tahun kewangan semasa, pembayaran faedah sudah mencecah RM1.16 trilion (USD 270 bilion), melebihi perbelanjaan pertahanan negara bagi tempoh sama. Ini menandakan tekanan sebenar terhadap pilihan bajet, walaupun belum sampai tahap kehancuran.
Walaupun begitu, Powell tidak menyarankan pembayaran balik hutang secara besar-besaran. Penyelesaian yang dicadangkannya lebih realistik dan boleh dicapai jika ada kemahuan politik. “Kita tidak perlu membayar balik hutang sepenuhnya. Apa yang perlu adalah mencapai imbangan primer dan memastikan ekonomi berkembang lebih pantas daripada hutang,” katanya.
Namun, beliau juga mengaku bahawa isu fiskal bukan dalam bidang kuasa Federal Reserve. Amaran beliau sering diabaikan oleh Washington yang lebih asyik berpolitik. Powell sengaja mengekalkan peranan Fed dalam menjaga kestabilan harga dan pekerjaan, tanpa terlibat dalam pengurusan fiskal.
Namun ia bertentangan dengan dasar Fed selama ini memudahkan pinjaman murah yang mendorong kenaikan hutang. JPMorgan memberi amaran bahawa pengurangan hutang kerajaan AS tidak semudah yang disangka, terutamanya kerana hubungan rapat antara dasar Fed dan keperluan pembiayaan Perbendaharaan. Ray Dalio dari Bridgewater menggambarkan kemuncak masalah ini sebagai “serangan jantung ekonomi,” di mana perbelanjaan kerajaan dikurangkan kerana beban faedah hutang.
Bekas Pengerusi Fed, Janet Yellen, turut menyuarakan kebimbangan serupa awal tahun ini, menegaskan bahawa kenaikan hutang boleh melemahkan kemampuan Fed menangani pengangguran dan inflasi. Tetapi amaran ini juga berisiko dijadikan alasan untuk pemotongan perbelanjaan yang membebankan golongan paling lemah.
Hutang negara memang memerlukan perhatian serius. Tetapi perhatian itu harus berdasarkan penilaian jujur terhadap kos dan manfaat, bukan sekadar amaran umum tanpa langkah konkrit. Bertindak terlalu drastik boleh menggoncang kestabilan ekonomi sama teruk dengan hutang itu sendiri.
Mandat Powell sebagai Pengerusi Fed tamat pada Mei 2026. Amaran fiskalnya yang disampaikan bukan di Washington, tetapi di Harvard, mungkin menjadi kenyataan paling jelas sepanjang penggalnya: Hutang masih boleh dipikul, asalkan arah tuju segera diperbetulkan. Jika tidak, “kesudahannya tidak akan baik.”
























































