Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
XRP dilihat sedang menghampiri satu fasa penting apabila beberapa petunjuk teknikal mula memberi isyarat bahawa aset kripto itu mungkin sedang membentuk dasar sebelum pergerakan besar seterusnya.
Ketika artikel ini ditulis, harga XRP kini berada di paras $1.3795 iaitu positif 0.04% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis di sesi Asia.
Selepas tempoh pembetulan yang panjang, tekanan jualan semakin berkurang manakala harga kini bergerak dalam keadaan pemampatan yang sering berlaku sebelum lonjakan kuat.
Menurut penganalisis kripto Diana, carta bulanan menunjukkan situasi ini lebih kepada proses ‘reset’ selepas kenaikan besar sebelum ini, bukannya tanda keruntuhan pasaran.
Zon $1.30 hingga $1.35 kini dilihat sebagai kawasan sokongan penting yang berpotensi menjadi asas kepada pemulihan harga jika berjaya dipertahankan.
Dalam masa sama, penganalisis kripto EGRAG CRYPTO turut menarik perhatian terhadap indikator RSI mingguan XRP yang kini menghampiri kawasan terlebih jual paling ekstrem dalam sejarah aset tersebut.
Keadaan seperti ini pernah muncul pada beberapa detik penting sebelum ini, termasuk pada tahun 2014, 2015, 2018, 2020 dan 2022, tempoh yang kebanyakannya berlaku berhampiran titik terendah pasaran sebelum harga mula berubah arah.
Walaupun keadaan ini tidak menjamin bahawa harga telah mencapai dasar mutlak, ia menunjukkan pasaran mungkin sedang memasuki fasa pembentukan dasar.
Jika sokongan utama kekal kukuh dan permintaan kembali meningkat, XRP berpotensi memulakan pemulihan yang lebih kuat dalam kitaran seterusnya.
























































