Pasaran mata wang kripto terus berhadapan tekanan aliran menurun (bearish) berikutan lonjakan pemulihan yang berlaku baru-baru ini gagal mengekalkan momentum lonjakan. Harga Bitcoin (BTC) mencatatkan kejatuhan ke paras terendah sepuluh hari pada paras $62,000 selepas cubaan untuk menembusi paras rintangan $65,600 menemui kegagalan pada awal minggu ini.
Faktor utama yang memacu penurunan ini berpunca daripada sikap berwaspada pelabur menjelang mesyuarat dasar kewangan Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC). Walaupun Rizab Persekutuan (Fed) dijangka mengekalkan kadar faedah semasa, spekulasi berhubung potensi kenaikan kadar faedah kejutan berikutan tekanan inflasi berterusan mendorong para pedagang mengurangkan pegangan aset berisiko.
Penurunan Bitcoin turut dipengaruhi oleh sentimen negatif dalam pasaran ekuiti global yang menyaksikan penurunan ketara pada indeks utama di Asia dan AS. Indeks KOSPI Korea Selatan dan Nikkei 225 Jepun masing-masing mencatatkan penurunan ketara, manakala saham berwajaran tinggi sektor teknologi seperti Nvidia dan Micron di Wall Street turut terjejas.
Dari sudut aliran dana institusi, ETF Bitcoin fizikal terus merekodkan aliran keluar bersih (net outflows) bagi hari ketiga berturut-turut. Walaupun pengeluaran pada Isnin berada di bawah paras $12 juta iaitu jauh lebih rendah berbanding gelombang pengeluaran pada Jun lalu, namun ia kekal memberikan tekanan psikologi kepada pasaran.
Pergerakan harga BTC seterusnya dijangka bergantung sepenuhnya kepada hala tuju dasar kewangan yang bakal diumumkan oleh the Fed. Penganalisis teknikal memberi amaran bahawa jika paras sokongan utama pada $62,000 gagal dipertahankan, harga Bitcoin berisiko merosot lebih jauh ke paras di bawah $60,000.






















































