Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Kesatuan Eropah (EU) sedang merancang tindakan balas yang tegas terhadap ancaman tarif baharu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, termasuk kemungkinan mengaktifkan Instrumen Anti-Paksaan (ACI) yang digelar ‘big bazooka’.
Langkah ini susulan ugutan Trump untuk mengenakan cukai import ke atas lapan negara Eropah yang menolak cadangannya untuk mengambil alih Greenland.
Pemimpin Eropah menyifatkan kenyataan itu sebagai tekanan yang tidak wajar dan berbahaya kepada hubungan rentas Atlantik.
Dalam rundingan tergempar pada Ahad, diplomat EU membincangkan cadangan mengaktifkan semula tarif balas bernilai 93 bilion euro terhadap barangan AS, yang sebelum ini ditangguhkan selepas perjanjian perdagangan dicapai tahun lalu.
Undang-undang ACI EU yang belum pernah digunakan membolehkan blok itu mengenakan sekatan ekonomi terhadap negara yang cuba memaksa perubahan dasar melalui tekanan perdagangan.
Antara sasaran berpotensi termasuk kereta buatan AS, jentera perindustrian serta produk pertanian dan pengguna.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron, dilaporkan menyokong penggunaan ACI jika Trump meneruskan ancamannya, manakala Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni, menyifatkan langkah tarif itu sebagai ‘kesilapan besar’.
Menteri Luar Belanda pula menyebut tindakan Washington sebagai satu bentuk ugutan terhadap sekutu mereka.
Ketua Majlis Eropah, António Costa, telah memanggil sidang kemuncak tergempar pada Khamis ini bagi menentukan langkah seterusnya.
Sama ada meneruskan tindakan keras atau memberi ruang kepada rundingan dengan Washington.




























































