Sektor pembuatan Amerika Syarikat merekodkan pemulihan kukuh apabila Indeks Pengurus Pembelian (PMI) ISM Julai melonjak kepada 55.6, menandakan paras tertinggi sejak Mei 2022. Angka tersebut mengatasi unjuran pasaran sebanyak 54.0, didorong oleh tindakan syarikat perniagaan yang mendahulukan pesanan bagi mengelakkan gangguan bekalan berikutan perang A.S.-Israel dan Iran.
Peningkatan aktiviti kilang turut didorong oleh pertumbuhan pesat perbelanjaan modal dalam sektor kecerdasan buatan (AI) yang mengurangkan impak negatif pengenalan tarif import baharu. Selain itu, tahap inventori perniagaan yang susut selama lima suku tahun berturut-turut memberikan ruang pengeluaran yang lebih luas bagi memenuhi peningkatan permintaan pasaran.
Lonjakan sub-indeks pesanan baharu kepada 56.7 telah mencetuskan tunggakan kerja yang ketara, sekali gus mendorong pengilang meningkatkan semula pengambilan tenaga kerja. Indeks penggajian pembuatan melantun ke paras 52.8 ysng merupakan bacaan tertinggi sejak Ogos 2022. Bacaan ini menandakan pemulihan dalam pasaran buruh perindustrian A.S.
Walau bagaimanapun, kebangkitan sektor pembuatan ini berdepan cabaran kekangan rantaian bekalan yang terjejas akibat konflik Timur Tengah. Indeks masa penghantaran pembekal meningkat kepada 58.9, manakala indeks harga input kekal tinggi pada paras 71.1, mencerminkan krisis kos pengeluaran yang masih terdedah kepada volatiliti harga tenaga.
Tekanan inflasi kilang yang berterusan ini menyukarkan perancangan dasar kewangan Rizab Persekutuan (Fed). Selepas keputusan mesyuarat minggu lalu yang menyaksikan tiga ahli jawatankuasa menyokong kenaikan kadar faedah, data PMI yang kukuh ini menguatkan lagi spekulasi bahawa Fed mungkin terpaksa mengetatkan semula dasar kewangan jika risiko inflasi kembali memuncak.





















































