Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Malayan Banking Berhad (Maybank) telah melantik Chua Bee Geok sebagai Ketua Pegawai Operasi Kumpulan (GCOO) baharu mulai 1 April 2026.
Pelantikan ini dibuat bagi menggantikan Ketua Pegawai Operasi terdahulu, Alan Lau Chee Kheong yang mengumumkan untuk bersara selepas berkhidmat di Maybank selama 43 tahun.
Menerusi satu kenyataan semalam, Maybank memaklumkan bahawa Bee Geok, 53 akan memimpin operasi kumpulan merangkumi perbendaharaan, pembayaran dan perdagangan dengan menumpukan kepada pengukuhan pengalaman pelanggan, serta menyokong pertumbuhan di ASEAN.
Ia turut meliputi pengurusan kekayaan, pembayaran, perbankan transaksi, serta perbankan korporat dan pelaburan.
Sebagai seorang pemimpin baharu, Bee Geok mempunyai latar belakang yang baik dengan pengalaman lebih 25 tahun dalam industri perbankan yang merangkumi bidang kewangan, pengurusan risiko, operasi dan transformasi.
Beliau turut menerajui pelbagai program berskala besar yang memberi impak signifikan dalam meningkatkan ketahanan serta keupayaan operasi kumpulan sepanjang lebih 10 tahun di Maybank.
Bee Geok juga berpengalaman dalam transformasi perbankan yang menyeluruh di bawah strategi M25+.
Di samping itu, beliau menerajui inisiatif penyelesaian perdagangan digital di Malaysia, Singapura dan Indonesia bagi memperkemas proses dan meningkatkan pengalaman pelanggan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Maybank, Datuk Seri Khairussaleh Ramli menyatakan bahawa pelantikan ini mencerminkan keberkesanan perancangan penggantian dalaman dan polisi pengurusan bakat Maybank dalam memperkukuh kepimpinan organisasi.



























































