Harga minyak susut daripada paras tertinggi lima bulan apabila pasaran menilai bekalan dari Timur Tengah yang dilaporkan semakin pulih, walaupun pertempuran di rantau itu terus memuncak.
Brent diniagakan sekitar AS 108 setong selepas melonjak hampir 4% pada Jumaat. Minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pula turun menghampiri AS$100 setong.
Ketegangan masih tinggi. Sebuah helikopter Saudi terhempas berhampiran sempadan Yemen, Houthi menyasarkan Yanbu yang merupakan hab eksport minyak penting, manakala dua kapal tangki dilaporkan terkena serangan di Teluk Parsi.
Namun, aliran bekalan minyak nampaknya belum terhenti. Setiausaha Tenaga AS, Chris Wright, berkata penghantaran minyak melalui Teluk Parsi sudah pulih kepada kira-kira 80% daripada paras sebelum konflik.
Bekalan produk bertapis seperti diesel masih terbatas. Wright berkata AS sedang berbincang dengan sekutu Eropah untuk melepaskan simpanan diesel.
Harga Brent meningkat lebih 75% tahun ini akibat konflik yang semakin meluas di Timur Tengah serta perang Rusia dan Ukraine. Pasaran fizikal masih menunjukkan bekalan ketat, sementara harga diesel melonjak lebih tinggi daripada minyak mentah dan menambah tekanan inflasi.
Penganalisis Sparta Commodities, June Goh, berkata harga minyak tersepit antara risiko geopolitik yang meningkat dan aliran bekalan yang semakin pulih. Beliau menjangka Brent bergerak sekitar AS$100 setong kerana ekonomi global sukar menyerap harga yang lebih tinggi.
Dalam perkembangan lain, Donald Trump berkata AS membuat perjanjian eksport diesel dengan Rusia dan mengetepikan tarif serta sekatan terhadap penghantaran tenaga negara itu bagi memastikan rundingan damai dengan Ukraine diteruskan.
Ahli Kongres AS memperkenalkan rang undang-undang untuk menyekat pembelian bahan api Rusia. Moscow dan Kyiv pula terus bertukar serangan ketika Presiden Rusia Vladimir Putin mencadangkan rundingan bersama Trump dan Presiden China Xi Jinping bulan depan.
























































