Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Parlimen Israel meluluskan rang undang-undang baharu yang membolehkan hukuman mati dikenakan ke atas rakyat Palestin yang disabitkan dengan serangan maut, mencetuskan kritikan meluas daripada negara Eropah dan kumpulan hak asasi manusia.
Undang-undang ini mensasarkan rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, dengan hukuman mati dijadikan antara bentuk hukuman utama bagi kes serangan yang membawa maut.
Di bawah peruntukan baharu, pesalah yang dijatuhi hukuman mati akan ditempatkan di kemudahan khas tanpa lawatan luar, kecuali kakitangan tertentu, manakala rundingan undang-undang hanya dibenarkan melalui komunikasi video. Pelaksanaan hukuman pula dijadualkan dalam tempoh 90 hari selepas keputusan dijatuhkan.
Cadangan kaedah pelaksanaan termasuk gantung, selain pilihan lain seperti kerusi elektrik dan eutanasia, dengan laporan menyatakan kaedah gantung bakal digunakan.
Pindaan terhadap rang undang-undang itu turut membolehkan mahkamah menjatuhkan hukuman mati tanpa memerlukan permintaan rasmi daripada pendakwa raya dan tanpa keputusan sebulat suara, sebaliknya hanya melalui majoriti mudah.
Mahkamah tentera di Tebing Barat juga diberikan kuasa untuk menjatuhkan hukuman tersebut, dengan menteri pertahanan dibenarkan memberi pandangan dalam proses berkaitan.
Langkah ini turut menutup ruang rayuan atau pengampunan bagi pesalah Palestin, berbeza dengan sistem sebelum ini yang masih membenarkan hukuman diringankan kepada penjara seumur hidup.
























































