Pasaran global menarik nafas lega selepas pengumuman gencatan senjata antara Israel dan Lubnan, walaupun bayang-bayang kenaikan kadar faedah Amerika Syarikat mula menghantui pelabur.
Harga minyak mentah Brent merosot sekitar 0.7 peratus kepada 97.10 dolar setong sejurus selepas berita gencatan senjata antara Israel dan Lubnan diumumkan.
Ketegangan yang sedikit mereda ini memberikan ruang untuk pasaran “emas hitam” bertenang setelah berhari-hari diasak kebimbangan bekalan akibat pertempuran sengit di rantau Teluk.
Di tengah kancah konflik Timur Tengah, Dolar Amerika Syarikat terus menjadi pilihan utama pelabur sebagai aset perlindungan selamat (safe haven). Sementara itu, emas yang tidak memberikan pulangan faedah terpaksa akur dengan kejatuhan harga sebanyak 1.2 peratus ke paras 4,434 dolar seaun.
Data terbaharu menunjukkan syarikat-syarikat di Amerika Syarikat menambah pekerja paling ramai sejak Januari 2025, membuktikan pasaran buruh masih lagi kebal.
Ketahanan ini menguatkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) mungkin akan menaikkan kadar faedah dalam tempoh terdekat bagi menjinakkan inflasi yang degil.
Mata Wang Asia Dalam Perhatian
Di Asia, mata wang Yen Jepun terus berlegar di sekitar paras 160 sedolar, sementara pelabur cuba menghadam isyarat daripada Gabenor Bank of Japan, Kazuo Ueda. Kebarangkalian kenaikan kadar faedah di Jepun pada bulan ini dilihat semakin tinggi, namun kepastian mutlak masih menjadi tanda tanya buat para pedagang.
Tumpuan kini beralih sepenuhnya kepada laporan penggajian bulanan kerajaan Amerika Syarikat NFP yang bakal diterbitkan esoj. Jika data buruh terus menunjukkan kekuatan luar biasa, kita mungkin akan melihat Dolar Amerika semakin perkasa, sekali gus memberi tekanan berterusan kepada mata wang serantau dan komoditi.


























































