Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Projek Laluan Rel Transit Ringan 3 (LRT3) dari Johan Setia, Klang ke Bandar Utama sekali lagi menjadi perhatian apabila kelewatan penyiapannya menyebabkan kontraktor utama berdepan denda hampir RM475 juta.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa setakat 31 Disember 2025, jumlah Liquidated and Ascertained Damages (LAD) yang terkumpul adalah sebanyak RM474.9 juta.
Denda itu dikira berdasarkan kadar harian RM2,729,280, bersamaan 0.024% daripada nilai kontrak bagi setiap hari kelewatan.
Menurut beliau, selepas tamat tempoh lanjutan masa (Extension of Time, EOT) pada 10 Julai 2025, projek tersebut telah lewat selama 174 hari sehingga hujung tahun.
Ini menjadikan kontraktor secara kontrak bertanggungjawab membayar hampir setengah bilion ringgit kepada pemilik projek.
Kontraktor utama, Setia Utama LRT3 Sdn Bhd (dahulunya MRCB George Kent), dimaklumkan sedar sepenuhnya mengenai liabiliti tersebut.
Pemilik projek, Prasarana Malaysia, turut menerima jaminan bahawa segala isu tertunggak akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Isu kelewatan ini turut menimbulkan persoalan sama ada ia berpunca daripada kegagalan sistem perisian oleh syarikat teknologi Jerman, Siemens, yang terlibat dalam pembekalan dan pemasangan sistem isyarat serta kawalan tren bagi laluan tanpa pemandu itu.
Namun menurut Loke, kelewatan bukan berpunca daripada satu pihak sahaja.
Antara faktor lain yang menyumbang termasuk kelewatan ujian kritikal bagi sistem komunikasi dan integrasi, selain beberapa kegagalan semasa ujian Fault-Free Running (FFR).
Ujian FFR penting bagi memastikan tren dapat beroperasi tanpa gangguan dalam tempoh tertentu sebelum dibenarkan membawa penumpang.
Ketika ini, fokus utama adalah untuk melengkapkan ujian FFR bagi baki lapan set tren yang masih belum melepasi penilaian penuh.
Kejayaan ujian ini akan menjadi penentu kepada tarikh akhir pembukaan rasmi laluan yang dinantikan penduduk Klang Valley.

























































