Indonesia memperkenalkan peraturan baharu yang mewajibkan influencer atau pempengaruh media sosial mendapatkan sijil kompetensi sebelum boleh memberi cadangan atau mempromosikan aset digital seperti mata wang kripto.
Peraturan yang dikeluarkan oleh pengawal selia kewangan Indonesia itu bertujuan meningkatkan perlindungan kepada pelabur serta memastikan hanya individu yang mempunyai pengetahuan dan kelayakan boleh memberikan pandangan berkaitan pelaburan kripto.
Di bawah peraturan baharu tersebut, influencer hanya dibenarkan mempromosikan aset digital yang disenaraikan di bursa kripto yang diiktiraf.
Selain itu, syarikat atau platform yang dipromosikan juga mestilah mempunyai lesen sah daripada pihak berkuasa.
Semua kempen pemasaran turut perlu dijalankan melalui institusi kewangan atau penyedia perkhidmatan yang dikawal selia.
Ini bermakna syarikat terbabit bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kandungan promosi yang diterbitkan dan perlu menyiarkannya melalui saluran komunikasi rasmi mereka.
Langkah ini menjadikan Indonesia antara negara yang semakin mengetatkan kawalan terhadap finfluencer, iaitu influencer yang menghasilkan kandungan berkaitan kewangan, pelaburan dan aset digital.
Sebenarnya, beberapa negara lain telah mengambil langkah yang sama.
Di Australia, pihak berkuasa memaklumkan bahawa influencer mungkin memerlukan lesen perkhidmatan kewangan sekiranya kandungan mereka dianggap sebagai nasihat pelaburan atau membantu menguruskan transaksi kewangan.
Syarikat kewangan yang menggunakan khidmat influencer juga boleh dipertanggungjawabkan sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.
Di United Kingdom pula, pengawal selia kewangan memberi amaran bahawa individu yang tidak mempunyai kebenaran boleh melakukan kesalahan jenayah jika mempromosikan produk kewangan tanpa kelulusan daripada syarikat yang diberi kuasa.
Malah, pihak berkuasa berjaya mengarahkan lebih 1,200 iklan kewangan haram diturunkan daripada media sosial yang telah mencapai lebih 2.3 juta pengguna.
Sementara itu, Filipina turut memperkenalkan peraturan khusus terhadap promosi kripto, termasuk kandungan tajaan, siaran media sosial, podcast, penstriman langsung dan kandungan pendidikan berbayar.
Penyedia perkhidmatan kripto juga diwajibkan mendedahkan identiti semua pihak ketiga yang dilantik untuk mempromosikan produk mereka.
























































