Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS, disokong oleh prestasi mata wang tempatan yang semakin hampir mencapai paras terkuat dalam tempoh lebih tujuh tahun.
Kenaikan itu turut dipacu oleh peningkatan selera risiko apabila Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil keputusan untuk mengekalkan kadar dasar semalaman dan Indeks Dolar AS (DXY) yang lebih lemah.
Pada jam 9:53 pagi, ringgit dibuka pada 3.9670 iaitu melonjak 0.90% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Kali terakhir ringgit diniagakan pada paras tersebut adalah pada 24 Mei 2018 apabila ia mencecah RM3.9797 berbanding dolar AS.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan bahawa mata wang tempatan itu disokong oleh tinjauan optimistik terhadap ekonomi Malaysia selepas mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM minggu lalu.
Beliau turut menyatakan bahawa BNM berkemungkinan cenderung mengekalkan kadar OPR yang stabil memandangkan purata jangka panjang dari 21 Julai 2005 sehingga hari ini adalah sekitar RM3.82.
Bagaimanapun, tumpuan utama minggu ini akan tertumpu kepada mata wang dolar-yen (USDJPY) selepas Bank of Japan (BOJ) dan Federal Reserve (Fed) dilihat campur tangan dalam pasaran pertukaran asing.
Situasi ini berlaku ketika Jepun bakal mengadakan pilihan raya secara mengejut pada 8 Februari depan, sekali gus berisiko memberi tekanan selanjutnya kepada kedudukan fiskal negara tersebut.
Pada pembukaan, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.
Ia merosot berbanding yen Jepun kepada 2.5680/2.5748 daripada 2.5337/2.5361 pada Jumaat lalu, menjunam berbanding euro kepada 4.7258/4.7377 daripada 4.6993/4.7034 dan menyusut berbanding pound Britain kepada 5.4447/5.4584 daripada 5.4177/5.4224.
Ringgut turut didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia melemah berbanding dolar Singapura kepada 3.1348/3.1429 daripada 3.1302/3.1330 dan merudum berbanding baht Thailand kepada 12.8420/12.8858 daripada 12.8362/12.8544.
Bagaimanapun, ia melonjak berbanding peso Filipina kepada 6.74/6.76 daripada 6.77/6.78 dan naik sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 236.9/237.6 sebelum ini. – BERNAMA
























































