Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Ringgit dibuka sedikit rendah berbanding dolar AS hari ini selepas mata wang tempatan itu dijangka kekal di bawah tekanan di tengah-tengah ketegangan geopolitik yang semakin meningkat di Asia Barat.
Pada jam 9:40 pagi, ringgit didagangkan pada 3.9490 iaitu menyusut 0.15% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Rabu di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memaklumkan bahawa Indeks Dolar AS (DXY) terus meningkat apabila masyarakat antarabangsa kini memberi tumpuan kepada kesan penutupan Selat Hormuz.
Beliau turut menegaskan bahawa China yang selama ini bergantung pada import dari Timur Tengah, menggesa semua pihak untuk melindungi kapal yang melalui kawasan tersebut.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump juga memberi jaminan bahawa pengiring kapal tangki akan disediakan bagi membolehkan aliran minyak dan gas.
Menurut Mohd Afzanizam, ringgit dijangka terus menyusut kerana pedagang cenderung mencari aset perlindungan dalam dolar AS susulan sentimen penghindaran risiko.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang lain.
Ia meningkat berbanding euro kepada 4.5736/4.5904 daripada 4.5778/4.5842 semalam, naik sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.4964/2.5059 daripada 2.5010/2.5048, namun merudum berbanding pound British kepada 5.2590/5.2783 daripada 5.2451/5.2524.
Ringgit turut diniagakan lebih rendah berbanding mata wang ASEAN.
Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0841/3.0959 daripada 3.0863/3.0909 dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 233.4/234.4 daripada 233.7/234.2 sebelum ini.
Walau bagaimanapun, ia susut berbanding baht Thailand kepada 12.4652/12.5222 daripada 12.4401/12.4637 dan jatuh berbanding peso Filipina kepada 6.75/6.76 daripada 6.74/6.76 sebelumnya. – BERNAMA





















































