Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Mata wang ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar AS pada hari pertama bulan Mac apabila sentimen penghindaran risiko semakin meningkat selepas Amerika Syarikat (AS) dan Israel melancarkan serangan ke atas Iran pada Sabtu lalu.
Pada jam 9:34 pagi, ringgit didagangkan pada 3.9030 iaitu menjunam 0.39% berbanding dolar AS sejak dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid menjelaskan bahawa ketidakpastian utama tertumpu pada tempoh dan tahap ketegangan konflik.
Beliau turut menyatakan bahawa tindakan Iran untuk menghentikan lalu lintas melalui Selat Hormuz berisiko meningkatkan harga minyak mentah dan melemahkan sentimen perniagaan.
Menurut Mohd Afzanizam, kebimbangan mengenai risiko inflasi di AS juga berisiko menjejaskan negara lain, sekali gus meningkatkan persekitaran penghindaran risiko dan mengakibatkan ringgit didagangkan lebih lemah hari ini.
Sementara itu, harga minyak mentah WTI merekodkan kenaikan sebanyak 7.01% kepada $71.72 setong, manakala minyak mentah Brent pula melonjak 7.34% kepada $78.22 setong.
Pada pembukaan, ringgit didagangkan lebih kukuh berbanding mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4885/2.5027 daripada 2.4930/2.4963, melonjak berbanding euro kepada 4.5835/4.6093 daripada 4.5898/4.5957 dan naik sedikit berbanding pound British kepada 5.2252/5.2546 daripada 5.2470/5.2538 semalam.
Pada masa yang sama, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang ASEAN.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0697/3.0873 daripada 3.0742/3.0784 dan menambah berbanding baht Thailand kepada 12.4732/12.5512 daripada 12.5153/12.5370.
Walau bagaimanapun, ia melemah berbanding rupiah Indonesia kepada 232.1/233.6 dan merosot berbanding peso Filipina kepada 6.76/6.80 daripada 6.75/6.76 sebelumnya. – BERNAMA

























































