Bank Pusat Rusia mengambil pendekatan berhati-hati terhadap penggunaan dan perdagangan mata wang kripto dalam kalangan pelabur runcit.
Di bawah cadangan peraturan baharu yang bakal berkuat kuasa, pelabur biasa hanya dibenarkan berdagang tiga aset digital utama iaitu Bitcoin (BTC), Ethereum (ETH) dan Tether (USDT).
Menurut laporan Crypto Briefing, pihak bank pusat menolak cadangan untuk membenarkan akses segera kepada pelbagai jenis mata wang kripto lain.
Timbalan Gabenor Bank Pusat Rusia, Vladimir Chistyukhin, menjelaskan bahawa pada peringkat awal pelaksanaan undang-undang baharu ini, hanya tiga aset tersebut akan dibenarkan untuk tujuan perdagangan.
Beliau berkata keputusan itu dibuat kerana pasaran kripto masih mempunyai risiko yang tinggi.
Harga mata wang kripto sering mengalami turun naik yang ketara dalam tempoh singkat, sekali gus boleh menyebabkan kerugian besar kepada pelabur.
Selain itu, stablecoin seperti USDT juga tidak terkecuali daripada risiko kerana ia berpotensi dikenakan sekatan atau pembekuan oleh pihak tertentu.
Peraturan ini merupakan sebahagian daripada rangka kerja undang-undang aset digital Rusia yang dijangka mula berkuat kuasa bulan depan selepas mendapat sokongan besar dalam bacaan pertama di Parlimen Rusia (Duma Negara) pada April lalu.
Selain mengehadkan pilihan aset digital, pihak pengawal selia juga bercadang mengekalkan had pelaburan maksimum sebanyak 300,000 rubel bagi pelabur tertentu.
Sebelum dibenarkan membeli sebarang aset digital, semua pelabur sama ada yang berkelayakan atau tidak perlu lulus ujian pengetahuan khas bagi memastikan mereka memahami risiko dan cara pasaran kripto berfungsi.
Mulai tahun 2027 pula, aktiviti pemberian pinjaman kripto tanpa kebenaran rasmi akan diharamkan.
Walau bagaimanapun, rang undang-undang ini masih perlu melalui bacaan kedua dan ketiga di Parlimen, mendapat kelulusan Majlis Persekutuan serta ditandatangani oleh Presiden Rusia sebelum ia boleh menjadi undang-undang rasmi.
























































