Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Pasaran saham Amerika Syarikat (AS) ditutup lebih rendah pada sesi dagangan Jumaat selepas berjaya mencatatkan prestasi cemerlang semalam.
Kejatuhan itu didorong oleh ketidakpastian para pelabur terhadap konflik geopolitik di Timur Tengah serta lonjakan harga minyak mentah.
Dari segi prestasi indeks utama, Dow Jones merosot 1.61%, S&P 500 menyusut 0.56% dan Nasdaq Composite pula merudum 0.26%.
Lapan daripada 11 sektor S&P 500 termasuk sektor barangan pengguna, bahan dan perindustrian didagangkan lebih rendah.
Dalam perkembangan lain, harga minyak mentah melonjak melebihi 8% semalam, sekali gus merekodkan keuntungan mingguan terbesar sejak tahun 2022.
Bagaimanapun, harga minyak kembali susut selepas pentadbiran Presiden Donald Trump dilaporkan sedang mempertimbangkan pelbagai langkah untuk menangani kenaikan harga tersebut.
Sementara itu, saham Caterpillar menjunam 3.6% dan GE Aerospace jatuh 3.4% selepas pelabur menilai semula risiko gangguan rantaian bekalan serta kemungkinan kemerosotan margin keuntungan.
Tumpuan pasaran kini beralih kepada data pekerjaan NFP bulan Februari yang akan diumumkan pada jam 9:30 malam ini bagi mendapatkan petunjuk lebih jelas mengenai kekuatan pasaran buruh AS.























































