Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Ketegangan di Asia Barat semakin memuncak apabila Amerika Syarikat dilaporkan mula mengambil langkah untuk mengawal Selat Hormuz, salah satu laluan perdagangan minyak paling penting di dunia.
Dakwaan itu disuarakan sendiri oleh Presiden AS, Donald Trump dalam satu wawancara bersama media Israel, sekali gus menambah kebimbangan terhadap kemungkinan konflik yang lebih besar.
Menurut beliau, usaha mengawal laluan strategik itu bukan lagi sekadar perancangan, malah sudah mula dilaksanakan.
Trump turut menegaskan bahawa Washington bergerak seiring dengan kepimpinan Israel, khususnya Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, dalam menangani isu Iran.
Hubungan rapat antara kedua-dua negara ini dilihat sebagai faktor utama dalam strategi ketenteraan yang sedang digerakkan di rantau tersebut.
Dalam masa sama, beliau percaya Iran kini berada dalam tekanan besar dan berkemungkinan mahu mencapai satu bentuk perjanjian bagi meredakan keadaan.
Sejak penghujung Februari lalu, serangan udara yang dilancarkan oleh AS dan Israel ke atas Iran telah mengorbankan lebih 1,300 nyawa, termasuk tokoh penting negara itu, Ali Khamenei.
Serangan tersebut mencetuskan tindak balas pantas dari Iran yang melancarkan dron dan peluru berpandu ke beberapa sasaran di rantau Asia Barat.
Serangan balas itu bukan sahaja menyasarkan Israel, malah turut melibatkan kawasan lain seperti Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan Amerika.




























































