Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Ketegangan di Asia Barat semakin berterusan apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan mempertimbangkan untuk meminta negara-negara Arab menanggung kos peperangan terhadap Iran.
Jurucakap White House, Karoline Leavitt, memberi bayangan bahawa cadangan itu memang berada dalam radar pentadbiran Trump.
Walaupun belum diumumkan secara rasmi, ia dilihat sebagai pendekatan untuk mengurangkan beban kewangan Amerika dalam konflik yang semakin mahal.
Langkah ini mengingatkan kepada Perang Teluk 1990, apabila negara-negara serantau bersama sekutu lain membantu membiayai operasi ketenteraan AS.
Namun kali ini berbeza, kerana tindakan terhadap Iran dilihat lebih bersifat unilateral tanpa sokongan luas dari negara Arab.
Dalam masa sama, terdapat cadangan agar Iran sendiri dipaksa membayar kos perang, termasuk melalui minyak.
Namun Tehran menolak keras idea itu, malah menuntut pampasan daripada AS atas kerosakan yang berlaku.
Di medan konflik, Iran telah membalas serangan dengan peluru berpandu dan dron, menyasarkan kepentingan AS di rantau tersebut. Beberapa serangan turut menjejaskan kawasan awam dan infrastruktur penting di negara Teluk serta menyebabkan kos peperangan pula terus meningkat.
Dalam tempoh singkat, ia sudah mencecah puluhan bilion dolar, dan kini AS memohon sekurang-kurangnya AS$200 bilion tambahan untuk meneruskan operasi ketenteraan.
Kesan global juga semakin terasa apabila penutupan Selat Hormuz oleh Iran mengganggu bekalan minyak dunia, menyebabkan harga tenaga melonjak.
Walaupun begitu, pentadbiran Trump menegaskan kenaikan ini hanya sementara demi manfaat jangka panjang. Iran pula menegaskan mereka diserang terlebih dahulu ketika rundingan masih berjalan, sekali gus menolak dakwaan bahawa mereka menjadi ancaman.

























































