Pasaran buruh Amerika Syarikat (A.S.) terus mempamerkan daya tahan asas apabila permohonan baharu faedah pengangguran susut kepada 197,000 bagi minggu berakhir 3 Oktober, berdasarkan data rasmi Jabatan Tenaga Kerja A.S. pada hari Khamis. Bacaan tersebut yang mengatasi unjuran konsensus Reuters sebanyak 200,000 telah mengekalkan kadar tuntutan awal berhampiran paras terendah dalam tempoh 57 tahun selama empat minggu berturut-turut, membuktikan bahawa gelombang pemecatan pekerja masih berada pada tahap minimum bersejarah.
Walau bagaimanapun, penurunan angka tuntutan ini bertentangan dengan kemerosotan drastik dalam penciptaan jawatan baharu. Ini secara tidak langsung mengesahkan fenomena pasaran buruh low-hire, low-fire. Laporan Senarai Gaji Bukan Pertanian (NFP) padaminggu lalu mendedahkan ekonomi hanya menambah 29,000 jawatan pada September dimana dipicu oleh pengecilan tenaga kerja aktif akibat persaraan generasi lama, tindakan penguatkuasaan sempadan imigresen, serta keengganan majikan menambah tanggungan operasi.
Pihak majikan dilaporkan mengamalkan strategi “menyimpan pekerja mahir” di tengah-tengah keuntungan korporat yang kukuh, namun membekukan pembukaan posisi baharu berikutan pelbagai risiko geopolitik. Ketidaktentuan dasar tarif perdagangan dan peperangan A.S.-Israel ke atas Iran yang melambungkan harga bahan api diesel ke paras rekod dan meningkatkan kos input perniagaan menjadi punca utama sektor swasta memilih untuk mengambil pendekatan defensif.
Di pihak bank pusat, minit mesyuarat dasar Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) bertarikh 15-16 September mendedahkan bahawa barisan pegawai Rizab Persekutuan (The Fed) kekal menganggap pasaran guna tenaga berada pada tahap stabil dan menghampiri guna tenaga penuh. Meskipun The Fed baru menaikkan kadar faedah sebanyak 25 mata asas kepada 3.75%–4.00% pada September, data pekerjaan yang lemah serta inflasi Julai-Ogos yang menyederhana telah mengikis kebarangkalian kenaikan kadar faedah bagi mesyuarat Oktober. Ini secara tidak langsung telah mengalihkan unjuran pengetatan ke mesyuarat pada bulan Disember.
Sungguhpun pemecatan staf rendah, pencari kerja kini berdepan laluan getir berikutan peningkatan tuntutan pengangguran berterusan sebanyak 17,000 kepada 1.716 juta orang. Kesukaran mendapatkan penempatan pekerjaan baharu menyebabkan tempoh median pengangguran melonjak kepada 11.5 minggu pada Septembermenghampiri rekod tertinggi dalam tempoh 4.5 tahun.



















































