Sertai komuniti Intraday di Telegram & WhatsApp untuk berita pasaran lebih pantas.
Kerajaan Vietnam menggesa syarikat tempatan menggalakkan pekerja bekerja dari rumah sebagai sebahagian daripada langkah penjimatan bahan api di tengah gangguan bekalan tenaga global akibat konflik Iran.
Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Vietnam memaklumkan negara itu antara yang paling terkesan sejak perang melibatkan Amerika Syarikat, Israel dan Iran tercetus. Situasi ini berlaku kerana Vietnam sangat bergantung kepada import tenaga dari Timur Tengah.
Dalam kenyataan rasmi pada Selasa, kementerian tersebut menggesa perniagaan mengurangkan keperluan perjalanan dan pengangkutan dengan memperluaskan amalan kerja dari rumah apabila boleh.
Tekanan terhadap bekalan tenaga turut menyebabkan lonjakan harga bahan api di negara Asia Tenggara itu.
Data daripada syarikat bahan api utama, Petrolimex menunjukkan harga petrol meningkat sekitar 32%, manakala diesel melonjak 56% dan minyak tanah naik sehingga 80% sejak akhir bulan lalu.
Keadaan itu turut mencetuskan situasi panik apabila barisan panjang kenderaan dilaporkan beratur di beberapa stesen minyak di ibu negara, Hanoi.
Pihak kementerian turut memberi amaran kepada perniagaan dan orang ramai supaya tidak menyimpan atau membuat spekulasi terhadap bekalan bahan api kerana tindakan tersebut boleh memburukkan lagi keadaan pasaran.
Dalam masa yang sama, Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Minh dilaporkan telah menghubungi pemimpin Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu pada Isnin bagi mendapatkan jaminan bekalan minyak mentah serta bahan api tambahan.
Sebagai langkah segera, kerajaan Vietnam juga memutuskan untuk menghapuskan tarif import ke atas bahan api buat sementara waktu. Langkah itu akan berkuat kuasa sehingga akhir April bagi membantu menstabilkan bekalan dan harga tenaga domestik.


























































