Pengasas bersama Vitalik Buterin memberi bayangan bahawa Ethereum Foundation bakal mengurangkan peranan pusatnya dalam ekosistem Ethereum selain mengurangkan penjualan ETH bagi memberi fokus kepada pembangunan jangka panjang rangkaian itu.
Ketika artikel ini ditulis, harga Ethereum berada di paras $2,103.76 iaitu positif 0.31% sejak ia dibuka pada awal dagangan Isnin di sesi Asia.
Menurut Buterin, Ethereum Foundation tidak lagi mahu bertindak sebagai penyelaras utama Ethereum, sebaliknya hanya menjadi salah satu ‘node’ dalam ekosistem yang lebih terbuka dan terdesentralisasi.
Beliau berkata presiden yayasan itu, Aya Miyaguchi, sedang mengetuai proses peralihan tersebut yang dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk stabil.
Perubahan itu hadir selepas wujud kritikan daripada komuniti yang mendakwa tindakan yayasan tidak selari dengan prinsip desentralisasi dan privasi yang sering diperjuangkan Ethereum.
Buterin turut menjelaskan bahawa Ethereum Foundation kini hanya memegang sekitar 0.16% daripada keseluruhan bekalan Ether (ETH), jauh lebih rendah berbanding beberapa yayasan blockchain pesaing yang memiliki antara 10% hingga 50% bekalan token mereka.
Dalam masa sama, beliau berkata mandat asal Ethereum Foundation yang bermula sejak 2014 sebenarnya telah selesai pada 2022 selepas pembangunan utama Ethereum seperti Frontier, Homestead, Metropolis dan Serenity berjaya disiapkan.
Kini, yayasan itu mahu memberi tumpuan kepada empat keutamaan utama yang dikenali sebagai ‘CROPS’ iaitu censorship resistance, openness, privacy dan security.
Buterin berkata Ethereum tidak sepatutnya bersaing dari sudut kelajuan semata-mata, sebaliknya fokus kepada pembangunan teknologi yang sukar ditiru blockchain lain.
Susulan itu, Ethereum Foundation akan menjual lebih sedikit ETH bagi memastikan sumber kewangan dapat digunakan untuk pembangunan jangka panjang.
Antara fokus utama termasuk penggunaan AI untuk mengurangkan pepijat rangkaian, meningkatkan keselamatan sistem konsensus serta mengurangkan kebergantungan kepada pihak ketiga melalui pembangunan teknologi dompet digital dan infrastruktur baharu Ethereum.
























































