80 Firma China Dikenal Pasti Untuk Dinyahsenarai Oleh SEC

9,641

‘Cuak gak firma China dengan undang-undang AS ya.’

Securities and Exchange Commission (SEC) Amerika Syarikat (AS) telah mengenal pasti hampir 80 buah firma China yang menghadapi kemungkinan penyahsenaraian daripada bursa New York.

Pada Rabu lalu, SEC telah mengeluarkan senarai di bawah undang-undang 2020 yang dikenali sebagai The Holding Foreign Companies Accountable Act.

Akta tersebut dikeluarkan atas tujuan untuk menyingkirkan firma kuasa asing daripada bursa AS jika mereka gagal mematuhi pengauditan Amerika selama 3 tahun berturut-turut.

Hal ini berlaku ekoran pertikaian yang berlarutan antara pengawal selia AS, yang telah menuntut akses lengkap kepada segala kertas kerja audit firma China yang tersenarai di New York.

Namun, setakat ini China berterusan menolak permintaan akses tersebut atas alasan keselamatan negara.

Sungguhpun begitu, pengawal selia di kedua-dua negara sedang membincangkan butiran operasi perjanjian audit yang Beijing harap ditandatangani tahun ini.

Antara nama besar yang mencuri tumpuan dalam senarai tersebut adalah JD.com.

Menurut kenyataan JD.com, mereka menyedari akan senarai yang dikeluarkan oleh SEC di bawah akta tersebut dan firma sedang aktif meneroka sebarang kemungkinan penyelesaian.

Selain itu, wakil JD.com turut menyatakan mereka akan mematuhi segala undang-undang dan peraturan yang terpakai di China dan AS, dalam memastikan penyenaraian di kedua-dua Nasdaq dan Bursa Saham Hong Kong kekal.

Dalam pada itu, firma-firma lain yang tersenarai adalah JinkoSolar Holding Co Ltd, China Petroleum & Chemical Corp, Bilibili Inc dan NetEase Inc.

Sebagai rekod, pengawal selia China telah meminta beberapa firma yang tersenarai di AS termasuk Alibaba, Baidu dan JD.com untuk menyediakan lebih banyak pendedahan audit.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat