Adakah Risiko Coronavirus Bakal Jejaskan Keputusan Federal Reserve A.S?

345

Sesi pasaran Asia pagi ini menyaksikan pergerakan beberapa matawang utama yang perlahan, masih dipengaruhi oleh kebimbangan penyebaran virus China akan menjejaskan ekonomi global.

Pengeluaran data inflasi Australia telah menjadikan dolar Aussie sebagai tumpuan utama dengan mempamerkan peningkatan selepas kadar inflasi tahunan bagi Disember meningkat kepada 1.8% daripada jangkaan pasaran dan bacaan sebelumnya 1.7%.

Ini menunjukkan bacaan kadar inflasi tertinggi sejak 2018 sementara catatan indeks harga pengguna (CPI) meningkat sebanyak 0.7% pada suku keempat 2019 iaitu yang tertinggi sejak suku ketiga 2016.

Berdasarkan bacaan yang melebihi jangkaan, kemungkinan terhadap penurunan kadar faedah oleh Reserve Bank of Australia (RBA) pada Februari semakin berkurang membuatkan dagangan dolar Aussie memperlihatkan sedikit peningkatan berbanding USD pada pagi ini.

Sementara usaha sedang dipertingkatkan oleh negara-negara yang terkesan, untuk membendung penyebaran coronavirus, permintaan terhadap matawang safe-haven yen dan Swiss franc kembali merosot.

Safe-haven yen didagangkan menyusut daripada paras ketinggian tiga minggu yang dicapainya pada Isnin berbanding USD.

Ini memberi peluang buat US dolar untuk mengukuh, dengan indeks dolar yang mengukur kekuatan greenback berbanding enam matawang utama meningkat kepada 98.01.

Pengukuhan ini turut disokong oleh laporan keyakinan pengguna hasil tinjauan oleh Conference Board A.S pada Januari yang meningkat kepada 131.6 melebihi jangkaan pasaran dan bacaan sebelumnya sebanyak 128.2.

Mesyuarat FOMC pada awal pagi esok dijangka akan menyaksikan Federal Reserve A.S (Fed) mengekalkan kadar faedah ekoran kenyataan beberapa ahli Fed yang berulang kali menyatakan penilaian semula material dalam prospek ekonomi diperlukan untuk sebarang perubahan dasar monetari.

Bagaimanapun, terdapat segelintir yang berpendapat sebaliknya dengan beranggapan risiko daripada coronavirus boleh mendorong Fed untuk melakukan rangsangan jika ekonomi A.S terjejas disebabkan wabak tersebut.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat