Komoditi hitam didagangkan di bawah tekanan setelah dikejutkan dengan peningkatan dalam bekalan minyak mentah Amerika Syarikat, menambah kebimbangan pasaran terhadap permintaan global yang sedia lemah.
Namun, harapan terhadap keputusan OPEC dan sekutunya, termasuk Rusia iaitu OPEC+ untuk menangguhkan peningkatan pengeluaran minyak mentah pada Januari telah membantu mengimbangi harga minyak.
Penanda aras minyak mentah Brent jatuh pada $43.73 setong, sementara WTI Amerika Syarikat susut pada $41.34 setong.
Menjelang pembukaan sesi Asia, dapat dilihat bahawa WTI Amerika Syarikat menjunam ke paras harga $34.58 setong sebelum meningkat semula ke sekitar harga $41.00 setong ketika pasaran dibuka hari ini.
Institut Petroleum Amerika (API) pada hari Selasa melaporkan bahawa inventori minyak mentah AS meningkat dengan ketara sebanyak 4.2 juta tong pada minggu lalu, jauh meninggalkan jangkaan pasaran untuk peningkatan 1.7 juta tong.
Pasaran minyak sebelum ini telah meraih sokongan daripada harapan terhadap vaksin Covid-19 yang memperlihatkan perkembangan positif dalam ujian yang diusahakan, mendorong keyakinan pasaran untuk prospek pemulihan yang lebih jelas.
Bagaimanapun, dengan peningkatan berterusan kes Covid-19, harga minyak kekal terbatas di sekitar tahap harga yang sama.