Apa Jangkaan Pasaran Untuk Keputusan Mesyuarat BOE Malam Ini?

591

Tumpuan sesi Eropah hari ini adalah mesyuarat polisi Bank Pusat England (BOE) yang dijangka akan terus mengekalkan sokongan besar terhadap ekonomi Britain, walaupun terdapat pemulihan besar dalam ekonomi dan lonjakan inflasi yang tinggi.

Ini susulan daripada kenyataan daripada Gabenor Andrew Bailey yang masih melihat peningkatan inflasi baru-baru ini hanyalah sementara.

Kadar inflasi UK telah melonjak kepada 2.5% pada bulan Jun, dan BOE mengatakan dalam ramalan terbarunya bahawa ia akan meningkat lebih jauh lagi daripada sasaran 2% bank pusat.

Bagaimanapun, para penganalisis tidak menolak kemungkinan bahawa bank pusat mungkin akan mula menyusun rancangan bagaimana untuk menarik semula rangsangannya.

Dengan lebih daripada 70% orang dewasa di UK telah diberi vaksin sepenuhnya dan kebanyakan langkah sekatan telah diangkat semula, ekonomi UK telah mengatasi 10% daripada kemelesetan yang dialami pada tahun 2020 dan dijangka akan berkembang lebih cepat di kalangan negara-negara maju di dunia.

Walaupun masih terdapat ketidakpastian daripada peningkatan kes Covid-19 di seluruh dunia, tetapi para pembuat dasar BOE mungkin setidak-tidaknya menyebut mengenai pengurangan dalam pembelian bon mereka.

Pada malam ini, pasaran menjangkakan BOE akan mengeluarkan ramalan terbaru mengenai pertumbuhan dan inflasi mereka, dan bank pusat mungkin akan mengeluarkan kenyataan lebih optimis mengenai ekonomi dan situasi Covid-19 semasa.

Penganalisis juga menjangkakan bahawa sekurang-kurangnya satu atau dua orang pembuat dasar akan memilih pengetatan pada bulan Julai. Sekiranya terdapat lebih dari dua orang, matawang pound dijangka akan menunjukkan reaksi positif pada malam ini.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat