Harga komoditi hitam terus memanjangkan penurunan pada sesi dagangan Khamis setelah inventori minyak mentah Amerika Syarikat tanpa dijangka mempamerkan kenaikan pada minggu lepas.
Data yang diterbitkan Institut Petroleum Ameika (API) menunjukkan pada Rabu bahawa bekalan minyak mentah AS meningkat sebanyak 3 juta tong pada minggu lepas, tersasar dari jangkaan untuk penurunan sebanyak 1.4 juta tong.
Kenaikan tidak dijangka ini meningkatkan lagi tekanan terhadap pasaran minyak mentah yang dibelenggu oleh kebimbangan terhadap pemulihan permintaan bahan bakar yang perlahan disebabkan kes coronavirus terus meningkat di banyak negara.
Niaga hadapan minyak mentah Brent susut 17 sen kepada $40.62 setong, sementara dagangan hadapan minyak mentah WTI Amerika Syarikat pula jatuh 24 sen kepada $37.81 setong.
Kedua-dua penanda aras tersebut sebelum ini meraih peningkatan semalaman lebih 2% pada sesi New York, namun kembali menyusut susulan penerbitan data oleh API.
Sebagai tanda yang menunjukkan penurunan lebih lanjut, para pedagang komoditi dilaporkan telah memesan kapal tangki untuk menyimpan minyak mentah dan diesel di perairan berikutan bekalan yang melebihi penggunaan, lapor Reuters.
Peningkatan bekalan berlaku menjelang pertemuan bulanan panel pemantauan pasaran OPEC dan sekutunya pada 17 September.