Belanjawan 2021 Penentu Pasaran Bursa

292

Bursa Malaysia yang mencatatkan keuntungan semalam, dibuka rendah pagi ini berikutan sentimen pasaran yang begitu berhati-hati terutama menjelang pengumuman Belanjawan 2021 petang ini.

Pada pukul 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.84 mata kepada 1,499.65 selepas dibuka 0.69 mata lebih rendah pada 1,500.80.

Saham untung mengatasi rugi dengan 300 berbalas 141 sementara 318 kaunter tidak berubah, 1,383 tidak diniagakan dan 40 yang lain digantung.

Lapor Bernama, jumlah dagangan ialah 377.93 juta bernilai RM219.29 juta.

Dalam satu nota hari ini, Malacca Securities Sdn Bhd berkata, pelabur menjangkakan pembentangan belanjawan kali ini, yang pertama di bawah kerajaan pimpinan Perikatan Nasional, adalah yang paling penting terutama di celah-celah krisis kesihatan yang memerlukan langkah-langkah seterusnya diperkenalkan bagi merancakkan semula ekonomi.

“Dalam situasi sekarang ini, kami mengharapkan pasaran kekal stabil dengan pelabur terus berusaha mendapatkan pulangan perolehan yang lebih tinggi.

“Oleh itu, kami terus berpihak kepada sektor pembinaan memandangkan pengumuman Belanjawan 2021 petang ini mungkin menyaksikan projek-projek infrastruktur mega kekal dalam perancangan,” katanya.

Sektor teknologi terus berada di hadapan, mengambil petunjuk daripada prestasi kukuh semalaman Nasdaq.

Seorang penganalisis lain pula menjangkakan mewujudkan pekerjaan dan melindungi petugas barisan hadapan akan menjadi fokus utama Belanjawan 2021.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM7.09, Public Bank meningkat dua sen kepada RM15.02, Top Glove dan Hartalega tidak berubah pada RM8.30 dan RM18.00.

Nestle mendahului saham paling rugi, turun 30 sen kepada RM139.70, diikuti oleh GHL System yang jatuh 23 sen kepada RM2.67 dan MISC lebih rendah 15 sen kepada RM6.73.

Saham paling cergas pula, Lambo dan Kanger masing-masing tidak berubah pada tiga sen dan 20 sen, sementara Vivocom naik 11 sen kepada RM1.18 dan JCY International meningkat tiga sen kepada 73.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 2.02 mata kepada 10,892.19, Indeks FBMT 100 meningkat 0.21 mata pada 10,682.34, sementara Indeks FBM Emas Shariah turun 5.95 mata kepada 13,126.78.

FBM 70 meningkat 51.99 mata kepada 14,385.04 dan FBM ACE 68.00 mata lebih kukuh pada 10,668.90.

Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 16.04 mata kepada 12,116.16, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian lebih rendah 0.06 mata pada 149.30 dan Indeks Perladangan turun 4.58 mata kepada 7,127.03.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat