El Salvador sekali lagi dihentam, kali ini oleh Bank Dunia yang dikhabarkan telah menolak permohonan berkaitan penerapan Bitcoin (BTC) ke dalam ekonomi negara itu.
Keputusan diambil susulan daripada amaran daripada International Monetary Fund (IMF) pada minggu lepas.
Menteri kewangan El Salvador, Alejandro Zelaya semalam memberitahu bahawa pihak mereka sedang meminta bantuan teknikal daripada Bank Dunia untuk menjadikan Bitcoin sebagai tender sah selain dolar AS.
Bagaimanapun, jurucakap Bank Dunia menjelaskan pihak mereka menolak permohonan El Salvador:
“Kami komited untuk membantu El Salvador dari pelbagai aspek termasuk ketelusan matawang dan proses perundangan. Namun disebabkan kekurangan dari segi isu alam sekitar dan ketelusan, Bank Dunia tidak dapat menyokong usaha ini.”
Berita baiknya, Central American Bank for Economic Integration (CABEI) bersungguh-sungguh mahu membantu El Salvador menerapkan Bitcoin dalam ekonominya.
Presiden CABEI, Dante Mossi turut memberi jaminan bantuan teknikal di samping bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dan bank pusat El Salvador.
Tidak pasti sejauh mana usaha ini akan berjaya tetapi awal-awal lagi pakar ekonomi, Steve Hanke memberi hint yang Bitcoin akan meruntuhkan ekonomi El Salvador.