Keputusan mesyuarat polisi Bank of England (BOE) untuk kekal dengan kadar faedah tidak berubah meninggalkan kesan mendalam ke atas dagangan matawang pound sterling untuk melonjak pada sesi pasaran Eropah.
Walaupun keputusan itu sememangnya sudah dijangkakan, tetapi dagangan pound tetap meraih keuntungan lebih-lebih lagi selepas ahli Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) memilih untuk tidak melanjutkan program pembelian bonnya.
BOE pada Jun lalu telah meningkatkan program pembelian bonnya dengan tambahan sebanyak £100 bilion, menjadikan jumlah keseluruhan Kemudahan Pembelian Aset (APF) kepada £745 bilion.
Dagangan pasangan matawang pound berbanding US dolar mencatatkan lonjakan kira-kira 60 pips setelah keputusan itu dikeluarkan, membawanya tinggi ke paras ketinggian lima bulan pada 1.318.
Berdasarkan kenyataan susulan daripada BOE, prospek pertumbuhan ekonomi UK dan global masih dilihat tidak menentu berikutan kes Covid-19 yang masih mencatatkan peningkatan di beberapa negara.
Bank pusat akan menunggu dan melihat sejauh mana jangkaan peningkatan dalam pengangguran pada musim luruh. UK dijangka akan menamatkan skim pembayaran gajinya pada Oktober.
BOE mengunjurkan kadar pengangguran UK akan meningkat sekitar 7.5% pada akhir tahun ini dalam laporan yang dikeluarkan hari ini.
Ia juga memberitahu bahawa pemulihan ekonomi UK adalah sangat bergantung kepada langkah yang diambil untuk membendung krisis pandemik ini dan bagaimana kerajaan, isi rumah dan perniagaan memberi tindak balas terhadap faktor -faktor ini.
Bank juga menegaskan bahawa ia akan terus memantau keadaan dan bersedia untuk menyesuaikan dasar monetari dengan sewajarnya.