Data jualan runcit Amerika Syarikat (AS) menjadi tumpuan pasaran pada dagangan sesi New York semalam dengan bacaan terbaru bagi laporan Julai catat angka ‘menghijau’.
Kadar jualan runcit Julai AS catat peningkatan kepada 1.0% lebih tinggi mengatasi ramalan 0.4%, menunjukkan angka lebih cemerlang daripada bulan sebelumnya.
Bacaan teras juga turut catatkan peningkatan yang baik berbanding ramalan.
Selain itu, laporan mingguan bagi tuntutan faedah pengangguran AS untuk minggu lalu catat angka yang lebih rendah berbanding beberapa minggu sebelum ini.
Keseluruhan bacaan data yang positif itu semalam telah memberikan sokongan kepada US dolar untuk paparkan lonjakan nilai pada awal sesi New York.
Namun momentum pengukuhan tersebut gagal bertahan lama apabila US dolar kembali paparkan penyusutan menuju dagangan ke penghujung sesi.
Penganalisis melihat pengukuhan US dolar itu bersifat sementara berikutan jangkaan untuk langkah pemotongan kadar faedah oleh Federal Reserve (Fed) untuk dilaksanakan pada September kekal tinggi.
Bacaan data ekonomi AS yang positif itu dilihat membantu meredakan kegelisahan yang berlegar dalam pasaran pada minggu sebelumnya terhadap risiko kemelesetan global.
Situasi juga dapat dilihat pada pemulihan semula pasaran saham Wall Street yang berjaya mencapai paras tertinggi terbaru 1 minggu dengan ketiga-tiga indeks utama paparkan prestasi yang meyakinkan.
Tarikan terhadap aset safe-haven dipercayai akan semakin memudar termasuk mata wang seperti Yen dan Swiss franc, dan situasi pasaran yang semakin pulih bakal beri kelebihan kepada mata wang komoditi seperti dolar Australia.
Namun dolar New Zealand dilihat sedang mengalami tekanan berikutan mesyuarat polisi bank pusat RBNZ semalam menyaksikan penurunan kadar faedah diumumkan.