Debat Presiden AS Buat Bursa Malaysia ‘Tidak Keruan’

274

Bursa Malaysia dibuka tidak berubah pada Rabu, menjejaki pasaran saham Amerika Syarikat (AS) yang mencatatkan penurunan sebelum debat presiden, selain prospek sebarang rangsangan tambahan yang dilihat kurang menggalakkan.

Pada 9.09 pagi, petunjuk pasaran FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berada pada 1,504.78, naik 0.88 mata daripada 1,503.90 semasa ditutup pada Selasa.

Bernama melaporkan, indeks dibuka tinggi 1.87 mata kepada 1,505.77.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 200 berbanding 169, manakala 1,097 kaunter tidak berubah, 644 tidak diniagakan dan 43 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 985.39 juta unit bernilai RM429.54 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata, FBM KLCI mencatatkan satu lagi pusingan tekanan jualan pada Selasa berikutan pelabur segera menyimpan keuntungan mereka susulan prospek ekonomi yang kurang memberangsangkan dibentangkan oleh Bank Dunia.

Bank Dunia semalam menyemak semula unjuran prestasi ekonomi Malaysia dengan menurunkan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar kepada penguncupan 4.9 peratus berbanding penguncupan 3.1 peratus pada tahun ini dan ini telah menyebabkan indeks merosot sebanyak 0.5 peratus semasa ditutup, mencatatkan sesi dagangan yang tidak menentu.

“Kami berpendapat aliran meningkat akan menjadi sukar berikutan pemulihan ekonomi terus dilanda oleh kes baharu COVID-19.

“Dalam pada itu, saham berharga rendah turut tidak menentu berikutan penilaian yang kurang menarik pada masa ini,” katanya dalam nota hari ini.

Malacca Securities berkata kaunter teknologi terus mendapat sokongan belian dalam persekitaran permintaan yang kukuh dari semasa ke semasa.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik empat sen kepada RM7.20, Public Bank meningkat enam sen kepada RM15.64, Top Glove merosot tujuh sen kepada RM8.40 dan Hartalega susut 28 sen kepada RM16.72.

Daripada saham cergas, INIX Technologies berkurangan setengah sen kepada 33 sen, Kanger International naik setengah sen kepada 21.5 sen manakala Pegasus Heights dan warannya, masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 7.2 mata kepada 10,846.17 dan Indeks FBMT 100 naik 4.43 mata kepada 10,668.69.

Indeks FBM Emas Shariah susut 7.14 mata kepada 12,930.88, FBM 70 merosot 1.06 mata kepada 14,171.83 dan FBM ACE berkurangan 8.97 mata kepada 9,886.37.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 46.52 mata kepada 12,453.69, Indeks Perladangan menambah 3.69 mata kepada 7,066.21 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan meningkat 0.11 mata kepada 135.34.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat