Dolar Aussie, Kiwi Meroket Susulan Data Perdagangan Australia Dan China Yang Positif

370

Sentimen pasaran positif berikutan data ekonomi dari Australia yang memberangsangkan serta China yang kembali menunjukkan pemulihan dalam beberapa sektor yang mana sebelum ini telah dilumpuhkan oleh penularan wabak pandemik coronavirus.

Pasangan matawang AUD/USD telah mencatat peningkatan sekitar 150 pips sejak dagangan semalam setelah data imbangan perdagangan Australia yang diterbitkan menunjukkan peningkatan dua kali ganda dalam lebihan perdagangan berikutan lonjakan eksport sebanyak 15% pada bulan Mac.

Selain itu, eksport China kembali mencatat peningkatan sebanyak 8.2% pada bulan April, menyebabkan lebihan perdagangan melonjak kepada 45.34 bilion daripada 19.93 bilion yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Bacaan data yang memberangsangkan ini bukan sahaja telah mengangkat dolar Aussie, bahkan turut menyokong dagangan dolar New Zealand untuk didagangkan lebih tinggi berbanding US dolar.

Sementara itu, US dolar diniagakan menyusut berbanding enam matawang utama lain sementara tumpuan pasaran beralih kepada penerbitan laporan pekerjaan NFP AS malam ini yang dijangka akan menunjukkan bacaan yang terburuk pernah dicatatkan.

Jumlah tuntutan pengangguran masih menunjukkan angka yang lebih tinggi daripada jangkaan, namun ia mula menunjukkan penurunan iaitu sebanyak 3.17 juta pada minggu lalu. Ini menjadikan jumlah tuntutan mencecah 33.5 juta sejak 7 minggu terakhir.

Selain itu, Presiden AS Donald Trump terus menyalahkan China berhubung isu coronavirus dan beliau turut mengatakan pentadbirannya sedang menyemak sama ada Beijing memenuhi komitmennya dalam perjanjian fasa 1.

Mengikuti perkembangan di Eropah, Bank of England (BOE) mengekalkan kadar faedah dan program pelonggaran kuantitatifnya (QE) tidak berubah ketika mesyuarat polisi yang berlangsung pada Rabu, di mana terdapat dua ahli yang membuat kejutan dengan mengundi untuk memperluaskan program pembelian bon.

Matawang pound menunjukkan tindak balas positif dengan harapan peningkatan dalam rangsangan fiskal walaupun terdapat gambaran suram oleh BOE terhadap kejatuhan 14% dalam output ekonomi UK pada tahun ini.

Penyusutan US dolar telah menyokong euro untuk diniagakan meningkat pada sesi Asia. Bagaimanapun, unjuran oleh Kesatuan Eropah (EU) yang menunjukkan gambaran suram di Zon Eropah, terutamanya di Itali dan Perancis yang mungkin menjunam hampir 10% dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), telah membantutkan pergerakan euro.

Jadi Subscriber INTRADAY
Sertai bersama lebih 100,000 subscribers kami yang menerima kemaskini berita terkini beserta tips-tips premium tentang trading dunia pasaran kewangan.


* Sila semak inbox dan spam folder 2-3 minit selepas melanggan.
Anda mungkin juga berminat