Menurut tinjauan Reuters yang diterbitkan pada Rabu, majoriti penganalisis ekonomi meletakkan jangkaan bahawa bank pusat Jepun bakal menaikkan kadar faedah lagi pada penghujung tahun ini.
Ini menyusuli tindakan Bank of Japan (BOJ) pada mesyuarat terbaru penghujung Julai lalu yang menaikkan kadar faedah ke paras 0.25% selain turut mengumumkan rancangan untuk mengurangkan pembelian bon kerajaan.
Turut memberi kejutan kepada pelabur apabila pasaran sedang menjangkakan kadar faedah untuk dikekalkan di paras 0.10% seperti sebelumnya.
Kaedah kenaikan kadar dan tapering itu dilakukan oleh bank pusat ketika fasa mengetatkan dasar monetari.
Justeru, pelabur dapat melihat kesan pengukuhan mata wang Yen yang telah dipaparkan sebelum ini.
Pendekatan yang diambil oleh BOJ dilihat jelas berlawanan dengan dasar bank pusat yang lain terutamanya Federal Reserve (Fed) yang kini sedang bersedia untuk beralih kepada pelonggaran dasar monetari.
Menurut Ketua Ekonomi di Itochu Research Institute, polisi semasa untuk BOJ ketika ini bersifat sangat akomodatif, justeru kenaikan kadar faedah berkemungkinan akan diteruskan ke paras neutral dengan sasaran kestabilan harga dicapai.
Ekonomi Jepun telah berkembang pesat kepada kadar 3.1% tahunan untuk suku kedua 2024, memulih daripada catatan pada permulaan tahun, disokong oleh sektor pengguna yang kukuh.