Emas mencatatkan kejatuhan ketara harian sebanyak 0.70% semasa dagangan Rabu apabila mata wang dolar AS menunjukkan pemulihan semula selepas ucapan Pengerusi Fed, Jerome Powell membayangkan bahawa bank pusat AS sedia untuk melonggarkan dasarnya.
Tepat jam 9.20, harga emas berada pada posisi $2,513.11 iaitu naik 0.34% sejak ia dibuka pada awal dagangan Khamis sesi Asia.
Sementara itu, pasaran saham Wall Streets didagangkan dengan alur kerugian menjelang laporan pendapatan fiskal Nvidia dan kedudukan mata wang USD mencecah paras terbaik tiga hari pada 101.15 mata naik 0.60% hasil sokongan bon Perbendaharaan AS.
Sentimen tersebut menjadi penyebab nilai logam kuning berharga berlegar-legar sekitar $2,500 di saat hasil AS 10 tahun meningkat dua mata asas kepada 3.841%.
Kedudukan harga emas terus mencatatkan pengukuhan ketara selepas acara Jackson Hole di mana beliau berkata sudah tiba masanya untuk menurunkan kos pinjaman di saat kadar inflasi AS sedang menuju ke sasaran 2% Fed.
Menurut Majlis Emas Dunia (WGC), harga XAU/USD turut mendapat manfaat daripada peningkatan sederhana dalam aliran masuk bersih sebanyak 8 tan metrik bernilai $403 juta diterajui oleh dana keseluruhan benua Amerika Utara.
Selain itu, import emas bersih China meningkat sebanyak 17% pada bulan Julai dan menandakan kenaikan bulan pertama sejak Mac.
Buat masa ini, pasaran akan kekal sibuk pada penghujung minggu menantikan data penting ekonomi AS seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka kekal positif dan angka Tuntutan Pengangguran Awal untuk minggu lepas.