Emas melanjutkan keuntungan sejak pembukaan minggu di tengah-tengah peningkatan pertaruhan bahawa Federal Reserve (Fed) akan mula melonggarkan dasarnya pada bulan September.
Keyakinan tersebut semakin kuat berikutan ucapan Pengerusi Fed, Jerome Powell di Jackson Hole bahawa pegawai-pegawainya sudah bersedia untuk melaraskan semula dasar ekonomi Amerika Syarikat.
Pada jam 9.20 pagi, harga emas berada pada posisi $2,512.46 iaitu susut sedikit 0.22% pada pembukaan dagangan Asia hari Selasa.
Jumaat lepas, Jerome Powell berkata beliau yakin bahawa inflasi sedang menuju ke arah sasaran 2% tetapi Fed perlu meneliti kebimbangan mengenai pasaran buruh yang semakin berisiko.
Powell memberikan isyarat ‘greenlight’ kepada bank pusat untuk melakukan pemotongan kadar faedah sambil menambah kerisauannya terhadap data-data ekonomi yang berkaitan dengan angka buruh di Amerika Syarikat.
Sementara itu, kemuncak harga logam kuning juga diteguhkan dengan peningkatan ketegangan di Timur Tengah di mana konflik Israel dan Hizbullah semakin membimbangkan pada hujung minggu lepas.
Hasil bon Perbendaharaan AS telah pulih apabila nota penanda aras 10 tahun AS meningkat satu mata asas kepada 3.81%. Sentimen ini mampu mengurangkan pertaruhan bahawa Fed akan mengurangkan kadar sebanyak 50 mata asas pada September nanti.
Buat masa ini, pasaran akan menumpukan ke arah data penting Fed terutamanya pasaran pekerjaan seperti Non-Farm Payrolls (NFP) Ogos yang menentukan keyakinan pelonggaran dasar seterusnya.