Pasaran logam emas sempat merendah jauh dari posisi positifnya semalam pada $2,364.59 selepas sentimen menunjukkan para pelabur menetapkan untuk menunggu pengumuman laporan Indeks Harga Pengguna (CPI) AS yang berpotensi mengubah arus ekonomi global.
Dinamik inflasi memainkan peranan penting dalam membentuk dasar monetari. Sebarang petunjuk penurunan dalam CPI mampu mendorong pendirian dasar yang lebih ‘lembut’ oleh Federal Reserve (Fed).
Sementara itu, harga emas kini berada pada paras $2,339.75 iaitu naik sebanyak 0.14% sejak ia dibuka pada sesi dagangan Asia awal pagi tadi.
Penurunan jauh semalam merupakan tindak balas kepada beberapa petunjuk ekonomi berimpak tinggi yang akan dikeluarkan pada minggu ini. Elemen utama yang paling mempengaruhi emas pada minggu ini ialah implikasi laporan CPI AS.
Jika laporan ini menunjukkan inflasi yang semakin perlahan, ia boleh mengukuhkan lagi pendirian dovish oleh Fed yang sudah dirancang sejak awal tahun lagi.
Senario ini juga biasanya mendorong tarikan harga emas sebagai lindung nilai terhadap penurunan nilai mata wang dan mengurangkan kos pemegang aset. Ia juga mendorong pasaran domestik menghampiri paras tertinggi dan berisiko tinggi.
Jadi, pasaran selamat emas kini terpaksa merendah seketika melainkan ketegangan geopolitik yang tidak dijangka terjadi dalam tempoh terdekat.
Faktor luaran pula, perbincangan mengenai pemotongan kadar faedah, laporan lemah NFP AS dan sentimen pengguna yang rendah turut mendorong pergerakan harganya.
Walau bagaimanapun, pasaran mesti bersaing dengan dinamik global seperti kesan tarif AS ke atas EV China dan harga minyak mentah yang tidak stabil.
Faktor-faktor ini berkemungkinan akan memberi gambaran yang lebih jelas sama ada emas akan mengekalkan kekuatannya sebagai aset tradisional dalam melindungi nilai terhadap risiko makroekonomi.