Emas catat kejatuhan harga hampir $2,500 pada awal dagangan minggu hasil tekanan tinggi oleh pemulihan semula prestasi dolar Amerika Syarikat (AS).
Namun, penurunannya tidaklah terlalu ketara kerana ia masih lagi meraih sokongan daripada potensi pemotongan kadar faedah September oleh Federal Reserve (Fed) yang masih berterusan.
Tepat jam 9.30 pagi, harga emas berada pada paras sekitar $2,503 iaitu hampir tidak berubah sejak ia dibuka pada awal dagangan Asia hari Isnin.
Jabatan Perdagangan mendedahkan pada Jumaat bahawa Indeks Harga Perbelanjaan Penggunaan Peribadi (PCE) AS meningkat 0.2% pada bulan Julai iaitu sepadan dengan jangkaan pasaran.
Ketua Pegawai Operasi di Allegiance Gold, Alex Abkarian berkata bahawa laporan PCE memaparkan kadar inflasi bukan lagi menjadi kebimbangan utama Fed dan mereka mula memfokuskan tumpuan kepada data pengangguran.
Sementara itu, kumpulan pekerja terbesar Israel melaksanakan mogok di seluruh negara pada hari Isnin dengan memaksa kerajaan mengadakan gencatan senjata Gaza dan memastikan pembebasan tebusan yang ditahan oleh Hamas.
Buat masa ini, para pelabur akan memantau dengan teliti perkembangan konflik di Timur Tengah.
Sebarang tanda ketegangan yang meningkat di rantau ini mampu meningkatkan permintaan aset selamat yang terus memanfaatkan harga emas.
Walau bagaimanapun, kebimbangan permintaan emas fizikal dan ekonomi yang lembab di China mungkin menyekat kenaikan logam berharga itu kerana negara itu adalah pembeli utama dunia untuk emas.