Emas pertahankan kedudukan kukuh sekitar $2,500 sejak penutup dagangan minggu lepas selepas harapan Federal Reserve (Fed) membuka jalan berlakunya pemotongan kadar faedah untuk September semakin cerah.
Tepat jam 9.30 pagi, harga emas berada pada paras $2,510.43 iaitu turun sedikit 0.8% sejak ia dibuka pada dagangan Asia hari Khamis.
Laporan minit FOMC terkini menceriakan para pelabur ketika Wall Street terus didagangkan ‘hijau’ walaupun kedudukan mata wang USD turun melebihi 0.20% dengan Indeks Dolar AS (DXY) berlegar sekitar 101.10 mata.
Mesyuarat tersebut mendedahkan bahawa pegawai-pegawai Fed bersetuju kemungkinan wajar untuk melonggarkan dasar pada mesyuarat akan datang jika data terus menyokong seperti jangkaan.
Selain itu, penurunan inflasi dan peningkatan dalam kadar pengangguran untuk Julai akan terus membuka laluan untuk laksanakan pelonggaran dasar dengan segera.
Walau bagaimanapun, sebahagian besar pegawai-pegawainya sebulat suara untuk kekalkan kadar mesyuarat Julai dan ada yang berpendapat bahawa ia sudah berada pada kemuncaknya.
Kebanyakan pembuat dasar semakin bimbang tentang mencapai mandat pekerjaan maksimum walaupun risiko inflasi telah berkurangan sedikit.
Buat masa ini, peserta pasaran akan melihat doket ekonomi yang ringan iaitu pengeluaran Tuntutan Pengangguran Permulaan, PMI Global S&P dan data perumahan pada hari Khamis.
Pada hari Jumaat, para pelabur akan memerhati ucapan Pengerusi Fed Jerome Powell pada acara Simposium Jackson Hole yang dihoskan oleh Fed Kansas City di Wyoming.