Walaupun masih bergerak stabil, namun prestasi US dolar pada dagangan Selasa semalam dilihat sedikit menurun berbanding pengukuhan yang telah dipaparkan di awal minggu.
Terbitan data pekerjaan JOLTS di sesi New York semalam juga tidak memberi impak ketara walaupun bacaan hadir dengan angka yang kukuh.
Justeru, tekanan terhadap mata wang utama lain dalam pasaran sedikit mereda, namun pelabur akan kekal berwaspada menantikan beberapa data penting akan diterbitkan sehingga ke penghujung minggu.
Menjelang laporan NFP pada Jumaat, data pekerjaan ADP akan diperhatikan dahulu pada sesi New York malam ini.
Jika diteliti pergerakan harga pada carta pasangan mata wang EUR/USD semalam, harga tidak menyambung corak penurunan pada Isnin lalu.
Sebaliknya, berlaku peningkatan semula harga di atas paras 1.05000 mencapai ketinggian sekitar 1.05300.
Harga dilihat gagal untuk melepasi garisan halangan Moving Average 50 (MA50) pada rangka masa 1 jam di carta EUR/USD itu sebelum mendatar di paras 1.05000 semula sehingga bersambung dagangan ke sesi Asia pagi ini (Rabu).
Jika harga susut di bawah paras 1.05000, berkemungkinan corak penurunan awal minggu akan diteruskan semula dengan sasaran untuk melepasi paras yang dicecah sekitar 1.04600.
Seterusnya, harga yang melanjutkan penurunan dijangka akan menguji paras tumpuan pada 1.04000 pula.
Namun jika harga paparkan lonjakan selepas mendatar di paras 1.05000, akan menjadi isyarat bullish untuk pergerakan selanjutnya harga.
Kenaikan bakal menuju paras 1.06000 untuk menguji zon rintangan penting itu yang masih kekal menghalang kenaikan harga untuk beberapa minggu kebelakangan ini.
Lihat gambar carta harga pasangan EUR/USD di bawah untuk rujukan analisis teknikal anda.